Tempatan

Kerajaan perlu kaji semula klausa dalam undang-undang yang tidak boleh dicabar di mahkamah

KUCHING: Terdapat klausa di dalam undang-undang yang tidak boleh dicabar, namun sebaliknya berlaku pada Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perkara itu amat penting dan boleh memberi implikasi yang besar terhadap badan eksekutif yang memutuskan kuasa dalam undang-undang tersebut.

“Bagi saya ini adalah satu perkara yang amat besar dan patut difikirkan dengan lebih mendalam oleh kerajaan kerana ini adalah satu keputusan Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah yang tertinggi di Malaysia.

“Sebagai contoh, keputusan Kerajaan Sarawak untuk tidak membenarkan individu tertentu daripada Semenanjung Malaysia masuk ke Sarawak yang mana kuasa ini dahulunya tidak boleh dicabar di mahkamah namun sekarang ia boleh dicabar di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Libat Urus YB Menteri Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Pending (PCC) pada Rabu.

Susulan itu, Dato Sri Dr Wan Junaidi akan menemui Peguam Negara pada 9 Mei ini bagi membincangkan beberapa isu penting khususnya berhubung dengan klausa dalam undang-undang yang sebelum ini menjadi kuasa mutlak kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong memberitahu, beliau telah membuat kajian dan mendapati hampir 60 kluasa dalam undang-undang di Malaysia yang tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Ini adalah suatu perkara yang amat besar dan patut difikirkan kerajaan dengan lebih mendalam tentang bagaimana hendak mengatasinya,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *