Tempatan

Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak wujudkan semula Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak

KUCHING: Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jawatankuasa itu hanya memperakukan syor permohonan kewarganegaraan di bawah perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, jawatankuasa tersebut wujud pada 2016 namun ‘terhenti’ selepas peralihan tampuk pemerintahan di peringkat pusat.

”Kerajaan Sarawak telah memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar diteruskan semula jawatankuasa khas tersebut kerana ia merupakan antara isu utama yang dihadapi segelintir masyarakat Sarawak kini.

“Taraf warganegara seseorang kanak-kanak di Malaysia adalah berdasarkan taraf warganegara ibu kandungnya jika ibu-bapa mereka tidak berkahwin secara sah.

“Jika ibunya bukan warganegara Malaysia, maka kanak-kanak tersebut diberi taraf bukan warganegara.  Setelah ibu-bapa berkahwin secara sah, mereka boleh memohon taraf kewarganegaraan dibawah Perkara 15A jika anak tersebut dibawah 21 tahun,” katanya dalam sidang media mesyuarat penyelarasan bagi isu dokumen pengenalan diri di Sarawak di Baitul Makmur II, Kuching pada Sabtu.

“Syarat kelayakan permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan adalah pemohon dan orang yang didaftarkan hendaklah hadir di hadapan Pendaftar Warganegara semasa mengemukakan permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara.

“Orang yang didaftarkan hendaklah berumur kurang daripada 21 tahun pada tarikh permohonan dikemukakan.

“Nyatakan sebab memohon warganegara dalam keadaan khas di ruangan F dan Para A dalam borang permohonan atau berserta dengan lampiran berasingan jika ruangan tidak mencukupi.

“Permohonan hendaklah dikemukakan oleh ibu atau bapa atau penjaga yang mempunyai talian persaudaraan,” katanya lagi.

Ujar Dato Sri Fatimah lagi, kementeriannya juga akan mengadakan lebih banyak program kesedaran berkaitan isu yang boleh menyebabkan masalah kewarganegaraan.

Fokus program kesedaran itu ialah di kawasan pedalaman yang kurang akses kepada perkhidmatan kerajaan, katanya dalam satu kenyataan hasil mesyuarat jawatankuasa khas status kewarganegaraan peringkat Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *