Tempatan

Kerajaan Sarawak akan bentang satu RUU berkaitan tanah untuk mantapkan lagi hak Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membentangkan satu Rang Undang-Undang (RUU) yang akan memantapkan lagi hak negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Openg berkata RUU tersebut berkaitan tanah itu akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

“Kita ada pindaan yang kita akan buat dengan undang-undang tanah. 

“Dan, ketika ini saya belum lagi dapat mengumumkannya, pada dasarnya kabinet telah bersetuju untuk dibawa kepada persidangan DUN Sarawak.

“Ini akan memantapkan lagi hak kita dari berapa sudut dan kita tengok apabila DUN bersidang nanti,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.

Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 akan diadakan bermula 17 hingga 26 Mei ini.

Mengulas mengenai sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri ini, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengunjung yang hadir yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama.

“Saya rasa kagum dengan sambutan rakyat berbilang kaum datang ke rumah terbuka ini. 

“Ia membayangkan selepas dua tahun kita tidak mempunyai majlis rumah terbuka saya rasa ini adalah permulaan supaya kita dapat hidup normal,” katanya.

Bagaimanapun, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menasihati rakyat agar terus berwaspada walaupun keadaan pandemik sudah semakin baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *