KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan permintaan di bawah Jawatankuasa Kerja Sosio-Ekonomi (JKSE) sehingga mendapat apa yang sepatutnya di bawah Perjanjian Malaysia (MA63).
Perkara ini ditegaskan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) JKSE secara maya pada Jumaat.
Katanya lagi, Sarawak telah mengemukakan permohonan pembiayaan kepada Kerajaan Persekutuan dalam lapan sektor iaitu Kemiskinan, Infrastruktur, Utiliti, Penjagaan Kesihatan, Pendidikan, Pentadbiran dan Borneonisasi, Hal Ehwal Tanah dan Hal Ehwal Kewangan.
“Kerajaan Persekutuan telah menjawab beberapa permintaan Sarawak dengan kebanyakan permintaan itu masih dalam pertimbangan Kerajaan Persekutuan.
“Kami juga sedang meneruskan permohonan supaya wakil Sarawak dilantik dalam Lembaga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Ini amat kritikal bagi memastikan Sarawak boleh bersuara dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh LHDN,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.
Mesyuarat itu telah dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Sri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili.
Tambah kenyataan itu, Kerajaan Persekutuan telah membentuk Pasukan Petugas Khas Pembangunan Sempadan yangi akan berfungsi untuk merancang pembangunan sempadan Sarawak – Kalimantan dengan mengambil kira ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan.
Ujar Datuk Amar Awang Tengah, Kerajaan Sarawak telah membentangkan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan pembiayaan peruntukan untuk membangunkan sempadan.
“Kami berharap, melalui inisiatif ini Sarawak dapat membangunkan lebih banyak jalan untuk menghubungkan kawasan sempadan dan untuk mendapatkan Kerajaan Persekutuan membina lebih banyak CIQS untuk menjaga sempadan Sarawak,” ujarnya.
Pada masa sama, Kerajaan Sarawak meminta kerjasama erat di peringkat Kerajaan Persekutuan dalam kerjasama erat untuk memastikan pelaksanaan projek Persekutuan di Sarawak dilaksanakan segera.
Hadir sama Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.