Tempatan

Kerajaan Sarawak akan transformasikan Miri maju dan membangun menjelang 2030

MIRI: Kerajaan Sarawak akan turut menjadikan Bahagian Miri sebagai wilayah yang maju dan membangun menjelang tahun 2030 menerusi Pelan Greater Miri 2030 yang berteraskan sektor pelancongan, perkhidmatan dan pertanian.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun  Datuk Abang Openg berkata, ianya merangkumi Miri, Subis hingga ke Niah (terletaknya Gua Niah yang sedang diusahakan untuk disenaraikan sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). 

“Ini bermakna kegiatan ekonomi dari segi pelancongan akan sampai ke sana,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri di Miri pada Isnin. 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, Kerajaan Sarawak juga akan menghubungkan Miri dengan Marudi, menerusi pembinaan Jambatan Marudi-Baram yang kini sedang dalam pelaksanaan. 

Katanya lagi, jalan raya dari Marudi sehingga ke Long Terawan, Mulu akan dibangunkan dan ia akan menghubungkan jalan dari Limbang, yang dibangunkan dari Gunung Muda dan bersambung dengan jalan dari Baram. 

“Ini bermakna akan ada satu jalan sehingga ke pedalaman yang ada tarikan alam semula jadi. 

“Ini yang kita akan buat dan kalau ada akses, masyarakat yang tinggal di kawasan tersebut secara tidak langsung dihubungkan dengan Greater Miri,” katanya. 

Turut dijelaskan, keputusan syarikat minyak antarabangsa iaitu Shell membuat keputusan untuk meletakkan ibu pejabatnya di bandar Miri yang pastinya  membuka banyak peluang untuk para usahawan kita,” katanya. 

Sementara itu, dari segi pertanian, Miri amnya juga harus menjadi pengeluar makanan untuk dieksport ke pasaran luar negara. 

“Kerajaan Brunei telah memberi kebenaran kepada kita untuk mewujudkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (Statos) dan ini akan merapatkan lagi hubungan serta perhubungan perniagaan antara Brunei dan Sarawak… bermakna Miri akan mendapat manfaat,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *