Tempatan

Kerajaan Sarawak ambil tanah untuk bina Depoh Sungai Batu, lebih RM23 juta pampasan dibayar kepada 70 pemilik

KUCHING: Kerajaan Sarawak membayar pampasan berjumlah RM23,425,726.90 kepada 70 pemilik tanah yang terbabit dalam projek Pembangunan Pengangkutan Awam dan Transit Aliran Autonomi (ART) – Depoh Sungai Batu  berkeluasan lebih kurang 456,500 meter persegi atau 113 ekar.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, Kerajaan Sarawak mengambil tanah untuk melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan membayar pampasan kepada pemilik tanah berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Untuk melaksanakan pembangunan, kita memerlukan tanah dan tidak semua tanah yang ada adalah milik kerajaan, ada yang dimiliki oleh masyarakat kita, ada hak milik tanahnya dan ada juga yang belum ada surat hak milik tanah tetapi mempunyai bukti yang sahih bahawa itu adalah tanah adatnya.

“Jadi sekiranya kita memerlukan, kita terpaksa ambil tanah bukan secara percuma tetapi ia dibayar dengan pampasan dan pampasan itu haruslah yang sewajar-wajarnya dan ini adalah selaras dengan peruntukan yang sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (KTN) Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam KTN bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu antara lainnya menyebut, tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yg mencukupi.

“Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari JTS. Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada , struktur binaan (jika ada) dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa,” katanya semasa berucap dalam majlis penyampaian pampasan berkenaan di Yayasan Sarawak di sini semalam.

Awang Tengah berharap, penerima pampasan menggunakan wang pampasan mereka dengan sebaiknya.

Beliau berkata, wang pampasan berkenaan boleh digunakan untuk memastikan pelajaran anak-anak dapat diberi tumpuan.

“Ini kerana pada hari ini serba serbi berubah, pelabur-pelabur pun banyak datang daripada dalam dan luar negara yang membuat pelaburan. Sekarang ini menggunakan teknologi teknologi baru.

“Premier Sarawak Datuk patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman ZOhari Tun Datuk Abang Openg sudah bercakap mengenai ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), dan pelabur-pelabur ini juga menggunakan teknologi baru.

“Jadi kita mahu anak-anak kita ada pelajaran dan kemahiran,”ujar beliau lagi.

Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Sarawak Bahagian Kuching Alfian Bawi menjelaskan, sebelum jaringan laluan ART dapat dilaksanakan sepenuhnya, pembinaan komponen utama bagi kemudahan infrastruktur ART seperti depoh dan stesen penyelenggaraan harus dibina terlebih dahulu.

Justeru itu katanya, kawasan Sungai Batu, Santubong  telah dikenalpasti untuk dijadikan tapak depoh dan stesen penyelenggaran ART.

“Depoh Sungai Batu akan berfungsi sebagai hab sokongan untuk operasi dan penyelenggaraan kenderaan ART dan bas pengantara berkuasa hidrogen.

“Depoh ini akan menempatkan bangunan-bangunan penting yang akan membantu dalam operasi dan penyelenggaraan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching.

“Di depoh ini akan dibina  bangunan- bangunan penting seperti ‘Backup Control Centre (BCC)’, Bengkel infrastruktur, Bengkel mekanikal, Trek ujian, ‘Stabling yard’, Stesen pengisian gas hidrogen; dan Depoh Bas Pengantara bagi menyokong operasi ART.

“Sehubungan itu, sebagai permulaan bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching ini, pada tahun lepas projek pengambilan balik tanah bagi Depoh ART di Sungai Batu, Santubong telah mula dijalankan, dan penyerahan cek pampasan dilaksanakan semalam bagi menandakan rancangan pelaksanaan pembinaan depot akan bermula,”tambah Alfian.

 Sebanyak 50 lot tanah telah diambil balik bagi merealisasikan pelaksanaan pembinaan depot di Sg Batu Santubong ini, yang mana 16 lot yang terlibat adalah merupakan Tanah Berhakmilik manakala selebihnya, iaitu 34 lot adalah merupakan Tanah Hak Adat Bumiputera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *