Tempatan

Kerajaan Sarawak sentiasa pastikan pelaksanaan Projek Rakyat beri kesan positif kepada rakyat

SARIKEI: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian kepada pelaksanaan Projek Rakyat bagi memastikan keberkesanannya dalam memberi kesan kepada masyarakat. 

Ini dapat dilihat menerusi perjumpaan membabitkan lebih 40 agensi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bahagian Khas (DDC Khas) yang dipengerusikan Residen Sarikei, Michael Ronnie Langgong di sini, pada Selasa. 

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin dan semua wakil rakyat di bahagian Sarikei.

Abdullah ketika ditemui berkata, pertemuan itu adalah satu inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memastikan setiap projek dapat dilaksanakan lebih cepat dan efisien.

“Agensi-agensi yang berkaitan termasuklah wakil rakyat memberi idea supaya pentadbiran pengurusan projek ini dapat diperkemaskan dan sebagainya,” katanya.

Mesyuarat itu membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan.

Beliau turut menzahir rasa puas hati dengan kerjasama yang diberikan semua agensi kerajaan dalam memastikan Projek Rakyat dilaksanakan dengan jayanya. 

“Saya sangat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh semua agensi termasuk pegawai-pegawai mereka dan saya berharap kerjasama dan keakraban ini akan terus berkekalan kerana kesimpulannya semuanya untuk rakyat,” katanya lagi.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop memberitahu melalui perjumpaan itu setiap agensi tidak hanya berpeluang memberi maklum balas tetapi juga mengemukakan pelbagai idea dan pandangan masing-masing.

Ujarnya lagi, ia juga salah satu petunjuk betapa agresifnya Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan setiap projek yang dilaksanakan memenuhi aspirasi rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *