SIBU: Kerajaan Sarawak akan terus mempergiatkan usaha untuk membudayakan integriti, menambah baik tadbir urus dan membasmi rasuah, demikian tegas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut Ketua Menteri, satu kerjasama perlu diwujudkan menerusi kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman (UNION) dan pihak yang mempunyai kepakaran untuk membangunkan mekanisme pengukuran Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di peringkat negeri.
“Saya yakin yang Sarawak berada di landasan yang betul. Sarawak telah membina satu asas yang kukuh dengan objektif yang jelas untuk menangani permasalahan rasuah, Governans dan integriti.
“Kita telah menetapkan pelbagai inisiatif yang menjadikan Sarawak selangkah ke hadapan berbanding negeri lain di Malaysia dengan mewujudkan Ombudsman sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan kepentingan awam dipelihara,” katanya semasa menyampaikan amanat beliau pada perasmian Majlis Amanat Perdana Integriti 2022 bertemakan ‘Sarawak Maju Berintegriti Tinggi’ di Sibu pada Isnin.
Teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Tegas Ketua Menteri lagi, keseriusan Kerajaan Negeri dalam membudayakan integriti di negeri ini telah bermula sejak kemerdekaan dan diteruskan hingga ke hari ini.
Malah katanya, sejak mengambil alih kepimpinan Kerajaan Sarawak, semua anggota pentadbiran termasuk beliau sendiri telah melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada 25 Januari 2017.
“Dan baru-baru ini, setelah memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-12, sekali lagi saya bersama semua anggota kabinet telah melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada 27 Januari 2022 supaya kerajaan di bawah pentadbiran saya sentiasa berintegriti, bebas rasuah dan memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya.
Dalam hal ini, Ketua Menteri telah memberi mandat kepada UNION sebagai badan yang diberi tanggungjawab untuk menyiasat dan mencari keputusan mengenai perkara berkaitan pentadbiran dan birokrasi dalam sektor awam.
Beliau dalam pada itu gembira kerana Sarawak menjadi negeri yang paling aktif dalam membangunkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP).
“Sekarang, adalah menjadi tanggungjawab organisasi untuk melaksanakan inisiatif yang terkandung di dalam Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).
“Saya mengarahkan Unit Integriti Dan Ombudsman Negeri supaya memantau pelaksanaan OACP berkenaan dan melaporkannya semasa Mesyuarat Jawatankuasa Anti Rasuah Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri,” tambah beliau lagi.
Terdahulu dalam ucapan aluannya, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya berkata Ketua Menteri serius dalam membudayakan integriti dan bebas rasuah apabila sekali lagi mengetuai lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada 27 Januari lepas.
Katanya, komitmen dan sokongan padu ditunjukkan Ketua Menteri dalam memartabatkan agenda integriti telah menjadi sumber inspirasi dalam meningkatkan tadbir urus yang lebih baik untuk Negeri Sarawak, menyuburkan budaya bebas rasuah serta membudayakan integriti dalam segenap lapisan masyarakat di negeri Sarawak. – SN