KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching dijangka bermula pada September ini.
Pengarah Komunikasi Korporat, Program SEED dan Perhubungan Bumiputera Sarawak Metro, Alexius Barieng berkata, ART berkuasa hidrogen itu hanya akan mula beroperasi menjelang suku keempat tahun 2025.
“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kami akan memulakan kerja-kerja di lapangan menjelang September depan.
“Menjelang separuh kedua 2023 anda dapat melihat ART pertama di Sarawak ini secara fizikal.
“Seterusnya pengoperasian sepenuhnya atau perjalanan pertama mungkin bermula suku keempat 2025,” katanya pada Majlis Sarawak Metro Bersama Media, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, kerja-kerja pembinaan keseluruhan ART ini dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027.
ART Kuching melibatkan pembinaan dua jajaran laluan sepanjang 52.6 km dan Sarawak Metro sebagai anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang ditubuhkan pada Februari 2018 untuk membangun dan mengurus pengoperasiannya.