Tempatan

Keterlibatan kerajaan bersama rakyat basmi penyalahgunaan dadah, laluan baharu ART di daerah Gedung

GEDONG: Penglibatan bersama kerajaan dan rakyat penting bagi membasmikan penyalahgunaan dadah yang akan melemahkan  produktiviti rakyat dan negara,” kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Menurut beliau lagi, ini dilakukan menerusi pembelian anjing dan kelengkapan IOT yang diletakkan di lapangan terbang di negeri ini.

“Kerajaan Sarawak telah membantu Kerajaan Persekutuan melalui Jawatankuasa Keselamatan Negeri bagi menjayakan program Antidadah dengan membeli anjing dan juga kelengkapan IOT di lapangan terbang di Sarawak,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan dan Jualan Terus dari Ladang Keluarga Malaysia di di sini pada Sabtu.

Program serentak tersebut bermula dari 16 hingga 18 Julai 2022 bertempat di Dewan Datuk Patinggi Ali anjuran bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Lembaga Pemasaraan Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan masyarakat Daerah Gedong dan sekitarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong turut memberitahu Kerajaan Sarawak akan mewujudkan agensi kerajaan yang akan memberi fokus kepada pemodenan pertanian.

“Untuk menjayakan sektor “Food Security” sebagai permulaan, Kerajaan Sarawak akan membawa ke kabinet bagi mewujudkan agensi kerajaan yang akan memberi fokus kepada Pemodenan Industri Pertanian.

“Kerajaan Sarawak akan mewujudkan ‘Agropark’ di Gedong dan Simunjan dan beliau telah memohon Swimburne dan UNIMAS membuka mini kampus bagi tujuan penyelidikan dan latihan serta pemasaran yang lengkap dengan kemudahan IOT untuk para petani moden kelak,” ujar beliau lagi.

Beliau juga memberitahu akan memberi lebih bajet kepada Jabatan Pertanian Sarawak khususnya di luar bandar bagi melaksanakan pertanian moden di negeri ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia di atas bantuan e-wallet kepada peniaga dan pengguna pada program ini.

“Terima kasih kepada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) di atas bantuan e-wallet sebanyak RM30 seorang kepada 200 orang peniaga dan 200 orang pengguna pada program mereka hari ini,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan laluan ART yang baharu menuju ke daerah Gedong.

“Terbaru, ini merupakan laluan baharu dua hala yang akan dilalui ART dari Serian ke Gedong dan ke Rembus yang akan dibina dalam masa tiga tahun,” ujar beliau.

Pada majlis itu, Premier Sarawak menyampaikan Sijil Skuad Jawatankuasa Antidadah Negeri Sarawak dan Daerah Gedong, Sijil Keusahawanan Agro Bazaar Online dan  mock cek e-wallet.

Turut hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, Seni dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak merangkap Pengerusi PEMADAM Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Martin Ben, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Mohd Belon, Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaraan Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Mohamad Mustapha Awang, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Abu Bakar Mohamad Marzuki dan Residen Bahagian Samarahan Ibrahim Lumpu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *