Nasional

Ketidaktentuan politik dan ekonomi memerlukan dunia amalkan semangat ‘Keluarga Dunia’ – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Komuniti antarabangsa perlu melipatgandakan persediaan berdepan dengan ketidaktentuan, serta bekerjasama ke arah masa hadapan yang lebih aman, progresif, inklusif dan makmur, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ekonomi dan politik dunia kini berdepan dengan situasi pasca pandemik yang kompleks, selain terdapatnya persaingan yang semakin sengit antara kuasa-kuasa besar dunia.

Mengambil contoh Malaysia, Perdana Menteri berkata, masyarakat negara ini menjadikan semangat ‘Keluarga Malaysia’ untuk menjalin kerjasama yang inklusif; mementingkan kebersamaan dan bukannya perbezaan, serta mengutamakan golongan yang paling memerlukan.

“Justeru itu, saya juga menyarankan komuniti antarabangsa bekerjasama dengan mengamalkan semangat Keluarga Dunia. Tambahan pula, pandemik COVID-19 telah mengajar kita bahawa cabaran global yang berlaku dewasa ini tidak boleh diatasi secara bersendirian atau ‘silo’,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-35, anjuran bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, dan Jaringan ASEAN-ISIS, yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, cabaran pada masa kini sebenarnya bukanlah baharu, malah dalam keasyikan mengejar pertumbuhan ekonomi, ada pihak terleka untuk memberikan perhatian terhadap banyak perkara berkaitan permasalahan global.

Disebabkan itu, tegasnya lagi, masyarakat terpaksa berdepan dengan masalah-masalah yang sudah menjadi semakin kompleks dan sukar untuk ditangani.

Penggunaan bahan bakar fosil secara berleluasa, serta penyahhutanan tanpa kawalan merupakan antara penyumbang peningkatan suhu global, diburukkan dengan ketidaksetaraan pembangunan ekonomi antarabangsa.

“Negara-negara maju berupaya menggerakkan ekonomi melalui penggunaan teknologi moden yang mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, berbeza dengan negara membangun yang terbatas dari segi kemampuan teknologi dan modal,” katanya lagi.

Namun dalam usaha mencari keseimbangan, Perdana Menteri berkata, Malaysia tetap komited kepada sasaran untuk menjadi negara sifar bersih karbon seawal tahun 2050.

Melihat kepada skala krisis perubahan iklim, jelasnya lagi, penyelesaian yang sepadan dan inovatif daripada sektor korporat amat diperlukan bagi mendepaninya bersama-sama kerajaan, terutamanya di negara-negara membangun.

Menyentuh mengenai konflik politik sejagat seperti Myanmar, Palestin, dan terbaharu perang Rusia-Ukraine, Ismail Sabri berkata, ia telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang serius.

Perdana Menteri berkata, Malaysia menegaskan perperangan dan keganasan perlu dihentikan segera dan prinsip-prinsip dalam undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus dipatuhi.

Tambahnya lagi, masyarakat antarabangsa pernah bersatu teguh menangani masalah sejagat dengan memberi bantuan kemanusiaan.

Namun, jelasnya lagi, mereka masih dibelenggu isu ketidaksetaraan dalam menangani krisis politik tertentu seperti dalam membantu pelarian dengan membezakan mereka “yang boleh diterima”, dan juga sebaliknya.

“Sehubungan itu, saya menggesa kita berpegang kepada nilai-nilai masyarakat antarabangsa yang inklusif dan mempunyai sikap perikemanusiaan sejagat serta tidak lagi mengulangi kesilapan-kesilapan lalu,” kata Ismail Sabri.-ASTRO AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *