Menarik

Ketinggian luar biasa, Muhammad Haziq jadi tumpuan dan cecah kipas siling

TELUK BAHANG: Disebabkan ketinggian anak mencecah 198 sentimeter (cm), anak memang sering menjadi tumpuan dalam khalayak ramai, demikian luahan Junaidah Jamil, 44, ibu kepada Muhamad Haziq Khairul Annuar, 16, remaja yang mempunyai ketinggian luar biasa.

Tambahnya lagi, ketinggian luar biasa itu juga menyebabkan keluarganya tidak menggunakan kipas siling di rumah kerana ketinggian anak sudah menyamai paras kipas itu.

Menceritakan perihal itu, Junaidah berkata, ketika Muhamad Haziq berusia lima tahun, anak tunggalnya itu sudahpun mempunyai ketinggian seperti remaja belasan tahun.

Bagaimanapun, ketika itu mereka tidak mengesyaki tentang ketinggian itu dan menganggapnya sebagai normal. 

Namun, selepas menjalani pemeriksaan susulan, beliau dan suaminya   Khairul Annuar Mohamad Saberi, 52, mendapati Muhamad Haziq menghidap Sindrom Marfan yang merupakan sejenis ‘penyakit jarang jumpa.’

“Ketika menjalani pemeriksaan kesihatan, tahun lalu, doktor mengesahkan ketinggian Muhamad Haziq ialah 198cm dan boleh menjadi lebih tinggi lagi sebelum mencapai usia 21 tahun.

“Walaupun mempunyai kelebihan, Muhamad Haziq berdepan kesukaran terutama ketika menaiki kenderaan seperti bas, kereta dan motosikal, malah seluar dan kasutnya juga perlu ditempah khas.

“Suami kerap mengukur ketinggian Muhamad Haziq dengan meminta anak berdiri di tepi pintu sebelum menanda parasnya dengan menggunakan pen,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Jalan Hassan Abbas, di sini.

Cerita ketinggian luar biasa Muhamad Haziq menjadi tular apabila dikongsikan dalam hantaran Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, melalui laman Facebook, baru-baru ini.

Menurut Junaidah, selain Sindrom Marfan, anaknya juga mempunyai penyakit jantung sejak berusia lima tahun tetapi tidak serius.

“Penyakit itu membuatkan Muhamad Haziq cepat keletihan dan tidak dapat aktif dalam sukan di sekolah walaupun meminati aktiviti lompat tinggi,” katanya.

Akibat ketinggian luar biasa itu juga menyebabkan Muhamad Haziq digelar ‘galah panjang’ dalam kalangan rakan-rakan sekolah.

Malah, dengan keistimewaan itu juga membolehkan beliau telah diberikan tugasan khas dengan membersihkan bahagian yang tinggi di dalam kelasnya. 

Exit mobile version