Tempatan

Ketua Menteri alu-alukan kedatangan pelancong ke Bumi Kenyalang, nikmati kepelbagaian makanan, budaya dan tempat menarik

KUCHING: Sarawak mengalu-alukan kedatangan pengunjung luar untuk datang ke negeri ini bagi menikmati sendiri keunikan makanan dan budaya pelbagai masyarakat majmuk. 

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Sarawak mempunyai budaya, bahasa dan dialek, bangsa dan keturunan, kepelbagaian makanan dan juga flora dan faunanya. 

“Datanglah untuk menikmati Mee Kolok, Ayam Pansoh, Laksa Sarawak, Kek Lapis dan sebagainya yang mungkin tidak terdapat di tempat-tempat lain. 

“Tidak menghairankan UNESCO telah menamakan Kuching sebagai Creative City of Gastronomy kerana Kuching adalah lubuk makanan. 

“Kuching juga boleh diberi gelaran sebagai Bandaraya Budaya dengan siapnya Muzium Budaya Borneo, muzium budaya yang terbesar di negara ini yang akan dibuka kepada awam tidak lama lagi,” katanya ketika berucap dalam Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching pada Sabtu.

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, Sarawak turut mempunyai keindahan semula jadi dan tinggalan sejarah yang boleh dibanggakan untuk dijadikan produk pelancongan.

“Di sebelah Utara pula, Bandaraya Miri, iaitu bandaraya peranginan yang terletak di tepi laut adalah pintu masuk kepada kompleks gua antara yang terbesar di dunia, iaitu Gua Mulu, sebuah lokasi warisan dunia UNESCO. 

“Miri juga pintu masuk ke kompleks gua yang merupakan pertempatan prasejarah yang tertua di rantau ini, iaitu Gua Niah di mana ahli arkeologi telah menemui fosil manusia berusia lebih 60 ribu tahun,” tambahnya.

Begitu juga kemudahan seperti empangan hidro yang menempatkan tasik-tasik yang boleh dibangunkan sebagai tarikan terbaharu pelancong dari dalam dan luar negara yang sekaligus akan memperhebatkan industri pelancongan di negeri ini.

Hadir sama Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pelancongan, Seni dan Budata Dato Sri Nancy Shukri. -SN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *