Tempatan

Ketua Menteri Sarawak kini bergelar ‘Premier’

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) Perlembagaan Negeri Sarawak 2022 untuk menukar gelaran Ketua Menteri kepada ‘Premier’ diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dengan sokongan dua pertiga.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata RUU tersebut mendapat sokongan suara terbesar seramai 67 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala enam lagi menolak.

Bacaan kali pertama, kedua dan ketiga RUU tersebut dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada hari kedua Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Menurut Dato Sri Abdul Karim, penukaran gelaran tersebut adalah untuk membezakan status Sarawak berbanding negeri-negeri lain yang membentuk Malaysia.

Katanya, pindaan ini adalah untuk menekankan dan mengukuhkan perbezaan dan status yang dinikmati oleh Sarawak berbanding negeri lain dalam persekutuan Tanah Melayu yang membentuk Malaysia.

“Sejak penubuhan Malaysia, tiada perbezaan jelas dibuat untuk Sarawak dan negeri-negeri lain untuk mengambarkan status istimewa Sarawak.

“Akibatnya, Sarawak menerima layanan sama seperti negeri-negeri lain yang membawa kepada terhakisnya hak-hak negeri ini yang hendak dirampas semula oleh GPS,” jelasnya.

Katanya, dengan menukar gelaran Ketua Menteri kepada Premier, negara ini akan diperingatkan perbezaan layanan yang sepatutnya Sarawak dapat sebagai salah satu dari tiga wilayah yang membentuk Malaysia.

Malah katanya, ia juga menjadi peringatan jelas bukan sahaja kepada generasi Sarawak masa kini tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *