Nasional Ketua parti tandatangan sokong pembentukan Kerajaan Perpaduan esok: Fadillah

Ketua parti tandatangan sokong pembentukan Kerajaan Perpaduan esok: Fadillah

4
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof menjawab pertanyaan media pada Majlis Konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) Kelapan hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Satu majlis menandatangani perjanjian antara ketua-ketua parti bagi menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan akan diadakan esok.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perjanjian itu akan ditandatangani ketua-ketua parti yang bersetuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Esok akan ada upacara menandatangani satu perjanjian antara semua parti yang bersetuju untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Di situ nanti (media) boleh bertanya apakah kandungan perjanjian tersebut dan fokusnya,” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) di sini pada Rabu.

Ditanya manifesto parti mana yang akan dipilih untuk dilaksanakan dalam Kerajaan Perpaduan, Fadillah secara ringkas berkata tiada perbincangan berhubung perkara itu kerana kerajaan sekarang bukan berasaskan parti.

“Satu daripada keutamaan kita (Kerajaan Perpaduan) adalah berhubung kait dengan kos sara hidup,” katanya.

Mengenai fokus perjanjian tersebut, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata beliau tidak pasti kerana tidak terlibat dan hari ini beliau akan menghadiri mesyuarat di peringkat GPS untuk melihat kandungan perjanjian itu.

Mengulas mengenai pemotongan gaji, beliau berkata pemotongan gaji yang diputuskan hanya melibatkan Jemaah Menteri sahaja.

“Setakat ini diputuskan hanya menteri. Saya tak pasti sama ada merangkumi timbalan menteri,” katanya.

Pada 5 Disember lepas, Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan dalam mesyuarat Kabinet bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan, yang akan dilaksanakan sehingga ekonomi negara kembali pulih.

Sementara itu, pucuk pimpinan tertinggi GPS turut mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) hari ini bagi membincangkan sokongan yang diberikan kepada Kerajaan Perpaduan diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi, mesyuarat itu juga bertujuan membincangkan berkenaan draf yang telah dimajukan oleh GPS berkaitan perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memfokuskan kepada kesefahaman dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Selain memperhalusi pandangan GPS yang merupakan gabungan penting dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, mesyuarat itu katanya juga bagi memastikan parti-parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan dapat menjalinkan kesefahaman dan bersatu hati dalam pentadbiran Malaysia.

“GPS akan tetap menyokong Kerajaan Perpaduan seperti apa yang termaktub rundingan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan sebelum ini,” tabah Menteri Kerja Raya itu lagi. – SN

#sarawaknews

Previous articlePerancis iringi Argentina ke final
Next articleDua beranak edar ekstasi berdepan tali gantung
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here