Tempatan

KKM peruntukan 2,400 dos ubat antiviral COVID-19 Paxlovid keluaran Pfizer untuk Sarawak

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan 2,400 dos ubat antiviral COVID-19 Paxlovid keluaran Pfizer untuk Sarawak, demikian kata Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian. 

Jelasnya, jumlah yang diterima itu daripada keseluruhan 48,000 dos yang bakal tiba di Malaysia pada Sabtu ini. 

“Permintaan terhadap ubat ini sangat tinggi. Oleh itu, Kerajaan Sarawak ingin menzahirkan penghargaan kepada KKM yang telah memperuntukan sejumlah dos tersebut,” katanya. 

Beliau baru-baru ini telah menghadiri mesyuarat susulan dengan Pfizer Malaysia mengenai ubat antiviral tersebut. 

“Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG), pakar kesihatan tempatan dan sekretariat negeri juga akan membuat rundingan susulan dan kertas kerja perundangan untuk Kerajaan Sarawak membeli dos tambahan sekali gus melengkapkan peruntukan KKM untuk penduduk di negeri ini.

“Sama seperti Disember tahun lepas, selepas mendapat nasihat daripada SCOVAG, Sarawak berjaya memperoleh koktel antibodi dos tunggal Roche Ronapreve (RM5,000 setiap dos) untuk hospital KKM di Sarawak,” ujarnya lagi. 

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan, Kerajaan Tempatan menambah, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah mengeluarkan arahan kepada pakar perubatan di negeri ini untuk mendapatkan ubat-ubatan saintifik yang terbukti untuk rakyat Sarawak. 

“Ini adalah untuk menambah atau melengkapkan peruntukan KKM jika perlu, kerana nyawa rakyat mesti diutamakan walaupun kuasa kesihatan berada di bawah Kerajaan Persekutuan,” tegasnya. 

Terdahulu, Dr Sim pada Isnin memberitahu Sarawak bercadang untuk menggunakan peruntukan daripada sumber negeri bagi membeli secara langsung ubat tersebut. 

Jelasnya, perolehan pertama 48,000 dos Paxlovid di bawah KKM mungkin tidak mencukupi bagi menampung keperluan pesakit COVID-19 di Sarawak. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *