Tempatan

Kontraktor utama perlu masukkan subkontraktor apabila kemuka tender projek kerajaan

MIRI: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan penetapan prosedur baharu agar kontraktor utama perlu memasukkan subkontraktor apabila mengemukakan tender bagi projek kerajaan. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini bagi menangani isu sebelum ini, apabila subkontraktor sering tidak mendapat bayaran daripada kontraktor utama dalam projek kerajaan. 

Jelas beliau lagi, perkara itu berlaku disebabkan prosedur sebelum ini menetapkan bahawa pembayaran bagi sesuatu projek hanya diberikan kepada kontraktor utama.

“Maka saya meminta Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) untuk menukar prosedur supaya apabila kontraktor utama mengemukakan tender, mereka juga harus memasukkan subkontraktor. 

“Kalau kontraktor utama tidak dapat melaksanakan tugas, maka pembayaran boleh diberikan terus kepada subkontraktor,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri pada Isnin.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberi gembira kepada kontraktor Bumiputera apabila bersedia membantu menyediakan jentera pengorek kepada Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), bagi kegunaan ahlinya melaksanakan projek. 

“Ia memandangkan kontraktor Bumiputera mengalami kesukaran untuk melaksanakan projek disebabkan tidak memiliki jentera itu. 

“Kontrak kita banyak, walaupun kecil tapi banyak seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan sebagainya, dengan nilai kira-kira RM600 juta setahun tetapi masalahnya kontraktor kita tidak ada jentera pengorek. 

“Jadi kalau DUBS ada jentera misalnya sebuah di Kuching, Miri dan Sibu, mereka boleh sewakan kepada ahli,” jelas beliau lagi. 

Ketua Menteri berkata, perkara itu telah dilakukannya kepada Persatuan Kontraktor Melayu Sarawak dengan memberikan sebuah jentera pengorek dan ia menunjukkan keberkesanan dalam membantu kontraktor.-SN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *