KUCHING: Kestabilan politik, kemakmuran dan kecemerlangan menjadi asas kepada penganjuran Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 pada kali ini.
Menurut Naib Presiden Parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi anak Utom, ketiga-tiga asas ini juga bertujuan memberitahu rakyat tentang perjuangan PBB untuk Sarawak sebagai arah tuju utama.
“Yang istimewanya konvensyen kali ini adalah kita mahu meneruskan usaha kita untuk menentukan keyakinan rakyat tentang perjuangan kita untuk negeri Sarawak.
“Sebagai kerajaan yang memerintah Sarawak, kita mahu memastikan kestabilan politik, kemakmuran dan kecemerlangan. Ini seharusnya menjadi arah tuju kita di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Persiapan dan Kelengkapan Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Konvensyen yang berlangsung pada 17 hingga 19 Jun ini sepatutnya diadakan pada Februari 2022, tetapi disebabkan pandemik ia tidak dapat diadakan dan ditangguhkan ke Jun ini atas persetujuan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Buat pertama kali juga, Konvensyen PBB Sarawak Ke-15 akan turut disertai sayap Pergerakan Belia PBB yang bertujuan memberikan kesempatan kepada mereka yang berumur 18 hingga 28 tahun menjadi pemilih dalam konvensyen ini.
Seramai 2,420 delegasi PBB dari seluruh Sarawak hadir di konvensyen ini yang terdiri daripada 1,800 bapa, 298 wanita dan 297 Pemuda serta 25 orang sayap Pergerakan Belia PBB sebagai pemerhati.
Dato Sri Dr Stephen Rundi yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak menjelaskan, konvensyen kali ini juga akan memberi gambaran arah tuju kepimpinan PBB bagi memastikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Kalau kita lihat, dulu kepimpinan ini menumpukan dari segi politik pembangunan, selepas itu kita menentukan bagaimana kita menggunapakai sumber semulajadi.
“Sekarang ini kita pergi kepada penggunaan teknologi, digital teknologi, perniagaan berteraskan teknologi dan sebagainya,” jelas beliau.
Pada konvensyen ini juga, para perwakilan akan membentang dan membahaskan tiga elemen utama iaitu ekonomi, pendidikan dan politik yang akan membawa Sarawak mencapai negeri maju menjelang 2030.
“Usul yang akan kita bentangkan dalam konvensyen kali ini ialah ekonomi, pendidikan dan politik.
“Dalam pada itu, kita akan kupas sedalam-dalamnya apa yang perlu kita dapat membangunkan negeri Sarawak ini. Ini adalah topik utama yang akan kita bincang dan bahaskan dalam konvensyen ini,” ujar beliau.
Hadir sama Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak Datuk Awang Bujang Awang Antek dan Timbalan Ketua Pemuda PBB Sarawak Miro Simoh.