Dunia

Korea Selatan rekod lebih 600,000 kes COVID-19

SEOUL: Korea Selatan hari ini, merekodkan 621,328 kes COVID-19, angka tertinggi sejak penularan pandemik itu, selain pihak berkuasa berkata republik itu hampir capai kemuncak penularan gelombang varian Omicron.

Berpandukan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Korea Selatan mendahului angka kes baharu dilaporkan di dunia bagi tempoh tujuh hari dengan 2,417,174 kes jangkitan, diikuti Vietnam (1,776,045 kes).

Namun, data rasmi menunjukkan kes kritikal serta kematian di republik dengan penduduk hampir 52 juta orang itu kekal rendah dan majoriti golongan dewasa lengkap divaksinasi serta sudah menerima suntikan penggalak.

Pegawai kanan di Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), Lee Sang-won, berkata pihaknya bersedia menerima lonjakan pesakit sejak Omicron menjadi dominan.

Namun, katanya, unjuran kerajaan tidak menjangka jumlah begitu besar dengan angka yang dicatat jauh lebih tinggi berbanding jangkaan.

Tambah beliau, pihaknya sedang melakukan kiraan semula ‘skala kes disahkan atau berapa lama tempoh puncak akan berlangsung’, biar pun pihak berkuasa kesihatan percaya republik itu menghampiri kemuncak gelombang Omicron.

Pegawai percaya republik itu akan mula pulih seperti biasa apabila melepasi tempoh kemuncak.

Sementara itu, pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Sohn Young-rae, semalam beranggapan ia akan menjadi krisis besar terakhir dalam tindak balas keseluruhan terhadap COVID-19.

Berdasarkan pihak berkuasa kesihatan, 11,481 orang maut akibat COVID-19 di Korea Selatan sejak penularan pandemik pada 2020 manakala statistik rasmi menunjukkan kadar kematian COVID-19 ialah 0.14 peratus hari ini, berbanding 0.05 hingga 0.1 peratus bagi penyakit selesema bermusim.

Lonjakan Omicron dan implikasi ekonominya akan memberi cabaran segera kepada calon presiden baharu Korea Selatan Yoon Suk-yeol, yang menang tipis minggu lalu.

Seoul mengabaikan pendekatan ‘jejak, uji dan rawat’, bulan lalu, ekoran lonjakan dramatik kes Omicron yang mengancam mengatasi sistem penjagaan kesihatannya, selain pesakit bergejala ringan atau sederhana diminta dikuarantin di rumah, berbanding melakukan saringan besar-besaran dan pengesanan kontak yang agresif.

Pihak berkuasa juga mengutamakan ujian PCR untuk penduduk berusia 60 tahun ke atas, selain republik itu terus melonggarkan peraturan penjarakan sosialnya, susulan tekanan daripada pemilik perniagaan kecil yang mendakwa sekatan COVID-19 selama beberapa tahun memaksa perniagaan gulung tikar.

Kerajaan dijangka memuktamadkan keputusan mengenai garis panduan penjarakan semasa, seperti perintah berkurung jam 11 malam untuk perniagaan, esok.

Akhir bulan ini, Seoul juga akan mula memberi vaksin kepada kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *