Tempatan

Kos pengeluaran ayam dan telur meningkat

KUCHING: Industri ayam dan telur di Sarawak bercadang memohon bantuan subsidi daripada Kerajaan Sarawak berikutan peningkatan kos pengeluaran kedua-dua bahan itu meningkat. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menerima baik cadangan tersebut. 

Bagaimanapun, cadangan itu bergantung kepada keputusan Kerajaan Sarawak. 

Katanya, menerusi bantuan itu dan subsidi RM500 juta daripada Kerajaan Persekutuaan baru-baru ini, ianya akan dapat menjamin kelangsungan industri mahupun ladang keluaran telur dan ayam di negeri ini. 

“Bagi saya, cadangan itu boleh diterima dan ia terpulang kepada Kerajaan Sarawak untuk membantu. 

“Saya berharap ini boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke ladang ayam di Buso pada Ahad. 

Dalam pada itu, beliau berkata, industri di peringkat ladang berdepan masalah seperti kos makanan ayam yang perlu diimport serta kenaikan kos lain seperti buruh yang menyebabkan kekurangan pekerja di ladang. 

Katanya, lawatannya bersama Kementerian Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (MANRED) dapat memahami isu-isu yang dihadapi oleh industri. 

Jelasnya, maklumat yang diperoleh itu digunakan untuk mencari jalan terbaik di peringkat pengeluaran. 

“Saya berharap kami di KPDNHEP dan Manred dapat mencari jalan untuk membantu industri agar pengguna di negeri ini tidak berdepan dengan masalah kekurangan bekalan ayam dan telur,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *