PUCHONG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan pemeriksaan secara lebih agresif di setiap peringkat bermula dari ladang hingga pengguna dalam usaha menangani isu kenaikan harga ayam.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata pihaknya menerima beberapa aduan daripada peniaga mendakwa mendapat bekalan ayam daripada pemborong pada harga siling iaitu RM8.90 sekilogram (kg).
“Peniaga maklumkan dapat bekalan ayam pada harga siling. Mereka kata sukar untuk jual pada harga siling jika dapat bekalan pada harga itu.
“Justeru, kita akan melaksanakan pemeriksaan secara agresif dan mengejut di semua peringkat bermula daripada peladang hingga pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Bazar Ramadan Taman Putra Perdana, di sini, hari ini.
Rosol berkata, KPDNHEP akan mengambil tindakan seperti mengeluarkan kompaun terhadap pihak berkaitan yang didapati menaikkan harga ayam melebihi harga siling.
“Apabila harga di peringkat pemborong atau peladang sudah capai harga siling, macam mana peniaga mahu menjual harga ayam mengikut harga ditetapkan kerana perlu menanggung kos proses sembelihan.
“Disebabkan itu, kita akan ambil tindakan tegas dengan menghantar surat saman atau kompaun kepada pemborong dan peladang didapati menaikkan harga,” katanya.
Selain itu, Rosol melahirkan rasa bimbang terhadap isu kenaikan harga barang kawalan apabila hangat diperkatakan rakyat pada minggu pertama sambutan Ramadan.
“Kita juga terkejut apabila media melaporkan di beberapa negeri termasuk Johor dan Terengganu mengalami masalah kekurangan barangan asas.
“Baru berapa hari saja menyambut Ramadan, namun sudah timbul isu kenaikan harga barang dan kita bimbang isu ini akan berlarutan hingga sambutan Aidilfitri.
“Justeru, kita membuat pemantauan berterusan dan sering mengadakan libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menangani isu berbangkit,” katanya.-BHARIAN