MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri berjaya merampas 2,112 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi yang bernilai RM5,272.50 dalam satu serbuan di sini, pada Isnin.
Ketua KPDNHEP Miri Joe Azmi Jamil berkata, ia dilakukan berikutan maklumat dan pemantauan yang telah dilakukan selama dua minggu ke atas sebuah kilang pengumpul minyak masak kitar semula di Senadin.
Katanya, syarikat itu dipercayai telah membeli secara pukal dan menyorok minyak masak bersubsidi itu.
“Dalam serbuan hari ini, pasukan penguat kuasa kita menemui 2,112 kilogram minyak masak dalam peket (bersubsidi).
“Ketika serbuan itu juga pegawai penguat kuasa kita mendapati terdapat aktiviti menggunting minyak masak peket 1kg yang kemudiannya dikumpul dalam dua tangki empat segi berkapasiti 1,000 liter untuk dijual ke peringkat industri,” katanya.
Susulan itu juga seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang sedang memindahkan minyak di stor kilang itu telah ditahan untuk siasatan.
Dalam pada itu, KPDNHEP Miri juga syarikat tersebut membeli minyak bersubsidi dalam paket sebelum dipindahkan ke tong besar kemudian dibungkus semula ke dalam tin untuk dijual.
“Kita mendapati modus operandi sindiket itu adalah membeli minyak masak bersubsidi dalam peket daripada pelbagai syarikat (jenama) sebelum dipindahkan ke tong besar dan dibungkus semula ke dalam tin untuk dijual kepada industri di sekitar Miri,” tambahnya.
Dalam serbuan itu, suspek gagal memberi sebarang dokumen berkaitan untuk menyimpan barang kawalan tersebut.
Minyak masak bersubsidi itu kemudiannya dirampas untuk tindakan lanjut manakala suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan berjadual dengan niat untuk melakukan kesalahan.