Menarik KPM kawal ketagihan game, larang bawa telefon bimbit ke sekolah

KPM kawal ketagihan game, larang bawa telefon bimbit ke sekolah

11

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menitikberatkan kesan terhadap mental pelajar berusia 18 tahun ke bawah yang ketagihan mobile game dan peranti digital.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, KPM berusaha memastikan had penggunaan alat tersebut adalah terkawal bagi tujuan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sibuti, Sarawak, Lukanisman Awang Sauni pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun berkata, masih terdapat sebahagian pelajar menggunakan peranti digital dalam satu tempoh yang terlalu lama selain untuk PdP sehingga menyebabkan ketagihan.

“Dalam konteks kawalan penggunaan peranti digital oleh murid seperti telefon bimbit, KPM telah menetapkan larangan membawa telefon bimbit di kawasan sekolah termasuk asrama melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009 Penguatkuasaan Larangan Membawa Dan Menggunakan Telefon Bimbit Oleh Murid Di Sekolah.

“KPM juga telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2018 Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Murid Membawa Peranti Peribadi Ke Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai panduan kepada murid apabila menggunakan peranti peribadi semasa melaksanakan PdP di sekolah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Radzi berkata, KPM juga menjalankan intervensi bersesuaian untuk menangani tingkah laku berisiko dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah termasuk ketagihan mobile game dan peranti digital.

Beliau turut berkata, penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan dan kokurikulum dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam aktiviti tidak sihat termasuk ketagihan mobile game dan peranti digital.

Menurutnya, ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting untuk menangani isu tersebut kerana pelajar banyak menghabiskan sebahagian masa mereka berada bersama-sama keluarga dan di luar waktu persekolahan.

“Dalam hal ini, kerjasama ibu bapa dan penjaga amat diperlukan untuk mendidik, mengawal dan memantau anak-anak mereka, termasuk penggunaan peranti digital secara bertanggungjawab.

“Di samping itu, KPM juga menggalakkan permuafakatan antara pihak sekolah dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti dalam merancang dan melaksanakan program yang bersesuaian bagi menangani permasalahan tersebut,” katanya.-SINAR HARIAN

 

 

 

Previous articleFC Headquarters muncul juara Kejohanan Bola Sepak JKR Sarawak 2022 – Zon Selatan
Next articleMakmal Pertanian Akan Dibina Di Gedong: Premier Sarawak
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here