Nasional

KPM setuju sesi persekolahan bermula Januari

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) secara prinsipnya bersetuju mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari selepas mendapat pelbagai pandangan berhubung kepentingan berbuat demikian terutama dalam kalangan ibu bapa.

Bagaimanapun, Menterinya, Fadlina Sidek, berkata pelaksanaannya tidak dapat dibuat dalam masa terdekat, sebaliknya perlu meneliti beberapa faktor, selain pelbagai justifikasi berdasarkan kepada pematuhan Akta Pendidikan 1996.

Beliau berkata, perancangan itu juga perlu memastikan setiap subjek dapat diselesaikan, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“KPM juga perlu mengambil kira faktor cuaca tidak menentu dan tahap) ekonomi setempat, sebelum mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari.

“Kita juga perlu mematuhi (beberapa aspek), termasuk bilangan persekolahan murid yang tidak boleh kurang daripada 190 hari dalam tempoh setahun,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi KPM di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM tidak bercadang mewajibkan Tingkatan Enam kepada lepasan SPM, selain penawarannya dibuat selaras Akta Pendidikan 1996.

Ini kerana, katanya, ia akan memberi kesan kepada kemasukan matrikulasi, Institut Pendidikan Guru (IPG) serta universiti awam dan swasta, jika kemasukan ke Tingkatan Enam diwajibkan kepada lepasan SPM.

“Murid Tingkatan Enam yang gagal peperiksaan semester boleh mengambil peperiksaan ulangan bagi subjek gagal.

“Ketika ini, tiada bantuan kewangan khusus disediakan untuk murid Tingkatan Enam yang menduduki peperiksaan ulangan, manakala yuran STPM ditanggung sepenuhnya kerajaan,” kata Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Sementara itu, beliau berkata, menu makanan di asrama dibangunkan dengan mengambil kira keperluan murid, berdasarkan saranan Pengambilan Nutrien Malaysia 2017 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, keperluan bagi murid sekolah rendah adalah antara 1,800 hingga 2,000 kilokalori sehari, manakala pelajar sekolah menengah pula antara 2,000 hingga 2,600 kilokalori sehari.

Beliau berkata, anggaran keperluan kalori itu berdasarkan tahap fizikal murid dengan pelajar di asrama dikategorikan dalam kumpulan murid aktif.

“Menu makanan asrama memenuhi piramid makanan Malaysia, mengambil kira kumpulan makanan iaitu bijirin, buah, sayuran, protein dan susu. Kaedah penyediaan berkhasiat (juga) ditekankan dengan mengurangkan penggunaan minyak, garam dan gula dalam hidangan.

“KPM dan KKM dari semasa ke semasa akan memantau kualiti makanan, berdasarkan rujukan dan pemantauan secara berkala. Insya-Allah, setakat ini makanan dibekalkan di asrama memenuhi kualiti dan menjaga keperluan nutrisi murid,” katanya.-BERITA HARIAN 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *