KUALA LUMPUR: Kritikan secara terbuka terhadap Perdana Menteri adalah tindakan yang dianggap `tidak sihat’ untuk kerajaan dan parti.
Penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar, berkata kritikan terbuka itu memberikan petunjuk yang tidak baik kepada kerajaan dan parti walaupun sesiapa sahaja bebas mengemukakan pandangan masing-masing.
Katanya, dalam situasi kedudukan politik yang tidak stabil, kritikan terbuka memberi isyarat yang mengelirukan mengenai kedudukan parti.
“Adalah lebih baik mana-mana kritikan atau teguran dibuat secara bersemuka atau pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti.
“Dalam kedudukan parti yang ada ketika ini, adalah lebih baik isu berbangkit diselesaikan secara dalaman,” katanya kepada BH.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyatakan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lemah kerana lewat membuat keputusan mengenai jawatan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.
Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata tindakan mengkritik secara terbuka kepemimpinan Perdana Menteri sangat tidak digalakkan kerana ia akan meberi kesan langsung kepada parti.
Katanya, ahli UMNO sebaliknya boleh membuat kritikan pada mesyuarat atau pertemuan bersemuka, bukannya menggunakan media massa dan media sosial.
“Mana-mana pemimpin parti di peringkat bahagian dan pucuk pimpinan perlu segera menghentikan ‘perang’ terbuka,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memandang berat tindakan itu kerana ia tidak sihat dan bakal merugikan parti.
“Tindakan seumpama ini pastinya menyebabkan ahli parti kecewa dan keliru. Gunakan saluran yang sesuai supaya musuh tidak mengambil kesempatan daripada perpecahan yang timbul,” katanya.-BERITA HARIAN