Sukan

Kuching City FC gagal sekat kemaraan Sabah FC 

KUCHING: Usaha Kuching City FC (KC FC) menyekat kemaraan pendahulu liga, Sabah FC gagal selepas kalah tipis 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya, pada Isnin.

Sekali gus menjadi kekalahan kedua The City Boys di laman sendiri selepas melalui tiga perlawanan dalam saingan Liga Malaysia.

Aksi masa pertama menunjukkan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan bertali arus namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan masing-masing.

Pasukan Kendalian Datuk Ong Kim Swee akhirnya membuka jaringan pertama pada minit ke-24 menerusi penyerang, Saddil Ramdani selepas mudah merembat gol dari luar kotak penalti lawan.

Bek kanan Kebangsaan, Rizal Ghazali terpaksa dikeluarkan sejurus kemudian selepas dilihat mengalami kecederaan dengan digantikan oleh Jafri Firdaus Chew.

Peluang Kuching City mendapat jaringan penyamaan tidak kesampaian selepas rembatan deras penyerang licik Zahrul Nizwan sedikit tersasar melepasi palang gol.

Kegembiraan pasukan pelawat bagaimanapun lebur tatkala menghampiri wisel penamat masa pertama selepas penyerang tunggal tuan rumah, Abu Kamara tidak melepaskan peluang keemasan dengan menolak mudah bola ke arah kiri gawang menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim Chien Kai.

Separuh masa pertama tamat dengan keputusan seri 1-1 antara kedua-dua pasukan.

Sabah kembali mendahului pada aksi kedua menerusi jaringan pemain tengah Telmo Ferreira minit ke-58 hasil hantaran lintang Jafri dari bahagian sebelah kanan padang.

Kuching seterusnya melakukan rombakan di bahagian tengah dengan memasukkan Adam Shreen dan Abdallah Sudi bagi menggantikan Mohamad Alif dan Sirojiddin Kuziev.

Turut dimasukkan, Joseph Kalang Tie, Amri Salleh menggantikan Zahrul dan Wan Mohammad Faiz.

Pasukan pelawat berjaya mengekalkan kemenangan hingga saat akhir dengan keputusan dua jaringan berbanding tuan rumah memperoleh satu gol.

Perlawanan kedua Kuching City di Stadium Negeri menyaksikan seramai 2,500 penonton hadir memberi sokongan biar pun dalam keadaan cuaca hujan.

Exit mobile version