JAKARTA: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama delegasi Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat terhadap wakil Timbalan Gubernor Kalimantan Timur di Samarinda, Kaltim Bapak Hadi Mulyadi pada Isnin.
Kunjungan tersebut bertujuan mempereratkan hubungan dua hala di antara Sabah dan Sarawak, khususnya dan Malaysia dan Indonesia amnya.
Delegasi negara diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr. Johnity @ Maximus Ongkili dan turut disertai Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Dr. Joachim Gunsalam, Utusan Khas, BIMP-EAGA Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan pegawai-pegawai dari beberapa kementerian.
Selepas itu, delegasi Malaysia turut menghadiri taklimat peluang pelaburan di KALTIM berkenaan dengan Dinas Penanaman Modal dan Pelayanan Terpadu Satu Pintu (DPMPTSP), KALTIM untuk Kawasan Industri Kariangau-Buluminung di kawasan Teluk Balikpapan, kawasan Industri Jasa dan Perdagangan di Kota Samarinda dan kawasan strategik di sempadan.
Taklimat lebih sejam itu turut menyaksikan satu sesi dialog yang antara lain membincangkan peluang-peluang yang ada di antara kedua-dua negara dan juga dari pembinaan ibu kota baru Indonesia di Nusantara.
Lawatan kerja 7 hari itu turut menyaksikan pertemuan dengan beberapa dewan perniagaan dari wilayah di Kalimantan dan juga lawatan ke tapak pembinaan Ibu Kota Nusantara.