Nasional

KWSP umum dividen 6.10 peratus bagi tahun 2021

KUALA  LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen Simpanan Konvensional sebanyak 6.10 peratus selepas mencatatkan prestasi kukuh dalam operasi dan kewangan bagi tahun 2021.

Kadar dividen bagi Simpanan Shariah pula ialah pada 5.65 peratus.

Agihan dividen ialah sebanyak RM56.92 bilion, iaitu RM50.45 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM6.47 bilion bagi Simpanan Shariah.

Kadar dividen KWSP 2021 bukan sahaja jauh lebih tinggi daripada kadar 2020 iaitu 5.2 peratus dan 4.9 peratus, malah mengatasi agihan pendapatan lima sen seunit oleh Amanah Saham Bumiputera (ASB) perdana Permodalan Nasional Bhd untuk 2021.

Ketua Pegawai Eksekiutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keseluruhan aset pelaburannya meningkat kepada RM1.008 trilion pada 2021, meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun daripada RM1 trilion pada 2020.

Pada Februari 2021, KWSP berkata keseluruhan aset pelaburannya meningkat 7.9 peratus kepada RM998 bilion daripada RM924.75 bilion pada 2019.

“Pertumbuhan yang lebih perlahan dalam jumlah aset pelaburannya, walaupun prestasi pelaburan yang kukuh, adalah disebabkan pengeluaran berkaitan COVID-19, termasuk pengeluaran i-Sinar Akaun 1 yang belum pernah berlaku sebelum ini berjumlah RM58.7 bilion,” jelasnya kepada media hari ini.

Kira-kira 7.3 juta ahli KWSP telah memohon sekurang-kurangnya satu atau ketiga-tiga pengeluaran khas berkaitan COVID-19, iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, yang secara kolektif menyaksikan RM100.9 bilion dikeluarkan daripada KWSP antara April 2020 dan Februari 2022, data KWSP menunjukkan.

Jumlah yang tidak disimpan dengan KWSP meningkat kepada RM110 bilion apabila termasuk RM9 bilion yang dikeluarkan kepada ahli kerana pengurangan kadar caruman berkanun pekerja (dari 11 peratus kepada 7 peratus dari April hingga Disember 2020, dan daripada 11 peratus kepada 9 peratus dari Januari 2021 hingga Jun 2022).

Sementara itu menurut Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, KWSP telah berjaya kekal stabil dan berdaya tahan bagi tahun 2021 disebabkan kedudukan portfolio yang kukuh dan pelaburan di pelbagai peringkat global.

“Pengeluaran sebanyak RM101 bilion akibat pandemik telah menyebabkan 48 peratus ahli KWSP mempunbyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka. KWSP berharap dividen ini dan prestasi berterusan KWSP akan membantu ia dalam memulakan proses membina semula simpanan persaraan ahlinya ketika pemulihan ekonomi berlaku tahun ini,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Untuk tahun 2021, KWSP telah mengimbangi semula dam mengurus portfolio pelaburanya dengan membeli saham yang kukuh pada harga yang menarik selain memanfaatkan pelaburan luar negara yang menyumbang 56 peratus kepada pulangan keseluruhan.

Setakat 31 Disember 20221, KWSP telah mencatat peningkatan 6 peratus dalam jumlah pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 peratus daripada RM63.45 bilion pada 2020.-AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *