Tempatan

Lahir belia celik ICT

KOTA SAMARAHAN: Seramai 30 orang belia golongan B40 daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan, Kota Samarahan telah menyertai program Belia Mahir ICT: Bengkel Asas Komputer dan Penyelenggaran Komputer Komuniti di Venet Hall, D’Virtual Park, Kota Samarahan bermula 29 hingga 30 Julai 2023.

Menurut kenyataan media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak pada Ahad, program berkenaan adaah anjuran Unit Jaringan Komuniti, UiTM Cawangan Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Stakan dan Syarikat Serba Dinamik Sdn Bhd.

“Bengkel berkenaan bertujuan menyediakan ilmu asas tentang komputer dan kemahiran tatacara menyelenggara komputer yang merupakan salah satu fokus utama dalam melahirkan generasi belia yang celik ICT.

“Selain itu, bengkel berkenaan juga bagi mempersiapsiaga generasi masa kini dengan cabaran dunia digital serta mencapai matlamat pembangunan mampan (Sustainable Development Goal) bagi membentuk sebuah bandar bestari digital menjelang tahun 2030 di Kota Samarahan,” katanya.

Di antara pengisian bengkel berkenaan adalah ceramah tentang pengenalan komputer, penyelenggaraan komputer, business pitching dan ceramah e-dagang serta digital inisiatif yang disampaikan oleh pihak Syarikat Serba Dinamik Sdn Bhd.

Majlis penutupan bengkel telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim dan turut dihadiri Professor Dr Mohamad Hariri Abdullah, Timbalan Naib Canselor Industri, Komuniti dan Jaringan Alumni (ICAN) UiTM.

Semasa berucap, Hamzah memberitahu Kota Samarahan kini bukan sekadar dikenali sebagai Bandar Ilmu semata-mata namun ia seharusnya menjadi contoh sebagai sebuah bandar dengan masyarakatnya celik ICT sebagai gaya hidup demi mendokong hasrat menjadikan Sarawak sebagai negeri yang berasaskan ekonomi digital.

“Diharapkan bengkel seperti ini, mampu melahirkan lebih ramai generasi belia terutamanya di Kota Samarahan yang celik ICT selain memberi kesedaran kepada mereka bahawa ICT bukan hanya media sosial atau permainan siber tetapi juga mampu untuk mengembangkan bakat dan potensi diri ke arah yang lebih positif,” ujar beliau.

Foto: UiTM Sarawak

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *