Tempatan Lampu isyarat pintar antara pilihan atasi kesesakan Kota Samarahan

Lampu isyarat pintar antara pilihan atasi kesesakan Kota Samarahan

14

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang melihat pilihan untuk memasang lampu isyarat pintar di bawah projek lampu isyarat Kuching-Samarahan Expressway bagi menangani isu kesesakan trafik terutama di Kota Samarahan. 

Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bagi menangani isu tersebut, kerajaan perlu melihat bukan hanya satu pilihan, tetapi pelbagai penyelesaian yang berdaya maju. 

Ini bermakna katanya, isu itu perlu ditangani bukan sahaja oleh satu kementerian, malah pelbagai agensi sama ada di peringkat negeri dan persekutuan untuk memastikan penduduk Kota Samarahan dapat terus menikmati kualiti hidup yang baik. 

“Saya gembira memaklumkan bahawa untuk Kota Samarahan, selain Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan sistem Transit Aliran Automasi (ART), kerajaan juga sedang melihat pilihan untuk memasang lampu isyarat pintar di bawah projek lampu isyarat Kuching-Samarahan Expressway. 

“Bagi tujuan itu, Sarawak Metro bekerjasama rapat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk memastikan sistem lampu isyarat pintar dan sistem ART akan berfungsi dengan lancar untuk manfaat semua penumpang dan pengguna pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Fasa Pertama Projek KUTS oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di tapak cadangan Depot ART di Kota Samarahan, hari ini. 

Bercakap mengenai projek tersebut, Lee berkata, ia merupakan salah satu projek paling  signifikan di bawah kementeriannya dan sebab itu, pasukan dalam kementeriannya bekerja rapat dengan Sarawak Metro bagi memastikan projek itu akan mencapai semua objektif dan matlamatnya. 

“Kami menyedari potensi projek ini dalam meningkatkan kualiti hidup di Kuching dan projek ini juga datang dengan harapan yang sangat tinggi, terutamanya apabila kami melihatnya sebagai model untuk kawasan bandar berpenduduk padat yang lain di seluruh Sarawak. 

“Dari segi keselamatan kepada penumpang dan pengguna jalan raya,  kriteria ini menjadi keutamaan kementerian untuk projek KUTS ini bukan sahaja ketika fasa pembinaan, tetapi lebih penting ketika fasa pengoperasian,” katanya. 

Tambah Lee lagi, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan KUTS menawarkan keselesaan dan kemudahan untuk para penumpang, kementerian juga sedang melihat untuk membangunkan sambungan batu pertama dan batu terakhir untuk perkhidmatan ART. 

Bagi tujuan itu katanya, bas hidrogen akan memberi perkhidmatan kepada kawasan dalam jarak dua kilometer dari setiap stesen walaupun Sarawak Metro akan mempertimbang untuk menambah bilangan bas sekiranya terdapat permintaan yang lebih besar pada masa hadapan. 

Selain itu katanya, Sarawak Metro juga telah berbincang dengan pelbagai pemain dalam industri pengangkutan tempatan mengenai cara untuk meningkatkan lagi sambungan pertama dan terakhir. 

“Kesalinghubungan batu pertama dan terakhir ini adalah penting untuk merealisasikan potensi penuh perkhidmatan ART dan saya gembira kerana Sarawak Metro memandang serius perkara ini,” katanya. -UTUSAN BORNEO

Previous articleKPWKM beri bantuan tuala wanita secara bersasar – Nancy
Next articleSabah, Sarawak turut terkesan kekurangan bekalan telur ayam
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here