KUCHING: Sistem pengambilan dan pelantikan kakitangan Perkhidmatan Awam Sarawak dilaksanakan berdasarkan merit, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Katanya kelayakan, keupayaan dan kompetensi individu yang memohon diutamakan tanpa mengira faktor kuota, bangsa atau latar belakang.

“Selain itu, tadbir urus Perkhidmatan Awam Sarawak dalam sistem pemilihan, pembangunan dan kenaikan pangkat dilaksanakan dengan baik dan teratur.

“Walau bagaimanapun, kerajaan akan terus berusaha untuk menambah baik Perkhidmatan Awam Sarawak sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa,” katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkaitan bajet negeri itu tahun hadapan.

Awang Tengah berkata buat masa ini, Perkhidmatan Awam Sarawak dianggotai pegawai dari semua kaum dan bangsa termasuk etnik minoriti seperti Kajang, Mierek, Saban dan Tagal.

Katanya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri yang ditubuhkan di bawah Artikel 36 Perlembagaan Sarawak, merupakan suruhanjaya bebas mengurus dan memantau urusan pengambilan, kenaikan pangkat dan disiplin penjawat awam negeri.

Pada 24 Nov lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata sistem pengambilan kakitangan awam Sarawak mestilah bebas daripada unsur perkauman bagi memastikan pencari kerja dilayan secara adil.

Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak berkata bagi memastikan pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dilaksanakan secara lebih efisien dan efektif, Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu telah mula dilaksanakan pada tahun 2010.

“Sehingga 31 Okt tahun ini, tanah seluas 1,060,811 hektar atau 2,621,264 ekar telah berjaya diukur secara perimeter dan 813,587 hektar atau 2,010,373 ekar daripadanya telah pun diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).

“Selain itu, sehingga 31 Okt tahun ini, sebanyak 58,606 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 74,181 hektar atau 183,301 ekar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah,” katanya.-BERNAMA