MIRI: Pengguna perlu melaporkan atau membuat aduan sekiranya terdapat penjual atau premis perniagaan yang menjual barangan keperluan terlalu mahal.
Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Miri, Joe Azmi Jamil berkata pihaknya mengadakan Ops Anti Sorok bagi memantau harga barangan keperluan.
“Pengguna yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi kami dengan beberapa saluran bagi memastikan harga barangan keperluan kekal relevan,” katanya pada Sabtu.
Menurut beliau lagi, orang ramai boleh membuat aduan melalui https://e-aduan-kpdnhep.gov.my/, talian KPDNHEP (085-412862) atau Whatsapp (019-2794317).
Mengulas mengenai Ops Anti Sorok ini, Joe berkata bekalan minyak masak tulen kemasan botol masih dijual pada harga lama kerana bekalan sedia ada adalah stok lama di premis.
“Tiada kenaikan harga dikesan pada minyak masak tulen botol semasa pemeriksaan OPS Ayam, Telur dan Minyak Masak (ATM) di bawah Ops Catut 9.0 dijalankan.
“Bekalan ayam terdapat di pasaran dan peniaga mematuhi penentuan harga maksimum yang diumumkan kerajaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut diminta mengulas mengenai kekurangan bekalan telur ayam di Miri, katanya kebanyakan premis telah kehabisan stok kerana permintaan yang tinggi di pasaran.
“Premis telah membuat pesanan daripada pengeluar dan dimaklumkan tidak dapat membekalkan stok kerana cuti hujung minggu.
“Bekalan dijangka akan sampai pada 4 Julai ini. Walau bagaimanapun, bekalan telur omega masih terdapat di premis,” katanya.
Sementara itu, bagi pemeriksaan tanda harga pada barangan yang dipamer untuk jualan adalah memuaskan.
Tanda harga diletakkan pada rak jualan dan barang yang dijual malahan penandaan harga juga jelas.
Ujar beliau lagi, sepanjang pemeriksaan dijalankan tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas peniaga atau premis perniagaan di sekitar Miri namun pengguna dinasihatkan membuat laporan jika ada kenaikan harga luar biasa pada harga barangan kawalan.