Tempatan

Lebih 280 individu terlibat dadah di Sarawak ditangkap dalam Ops Tapis Khas

KUCHING: Seramai 282 individu berusia 17 hingga 56 tahun, terdiri daripada 273 lelaki dan 9 perempuan, ditangkap sepanjang Operasi Tapis Khas Bilangan 2/2024 yang dilaksanakan bermula 4 hingga 6 Mac 2024.

Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Dato Mancha Ata berkata, mereka ditangkap atas pelbagai kesalahan yang melibatkan dadah.

“Suspek-suspek yang ditangkap ialah penjual dadah iaitu seramai 29 orang yang mana enam orang warga asing), penagih dadah (169 orang, 9 warga asing), orang dikhendaki (20 orang), dan kesalahan lain (64 orang, 3 warga asing),” katanya dalam kenyataan media semalam.

Mancha mendedahkan, sebanyak 656.63 gram pelbagai jenis dadah bernilai RM 42,911.60 berjaya dirampas yang boleh digunakan untuk 2,459 orang penagih dadah.

“Ini termasuk syabu (164.09 gram), ketamin (21.03 gram), pil erimin 5 (14.8 gram), serbuk ekstasi (436.8 gram), dan pil ekstasi (19.91 gram),” katanya lagi.

Menjelas lanjut katanya, dalam operasi ini, sebanyak 342 pemeriksaan dilakukan di kawasan PPRT, ladang, jeti nelayan, perkampungan, perumahan, rumah kedai, pot, dan tempat lain.

Tambah beliau, ia diadakan untuk mengesan dan menangkap penjual dadah, memusnahkan tempat penagihan dadah, mengambil tindakan ke atas penagih dadah, mengesan dan menangkap wanted person berkaitan dadah, serta mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang dikenalpasti.

Sejak Januari hingga 6 Mac 2024, PDRM Sarawak telah menjalankan 2,312 tangkapan, termasuk 154 orang penjual dadah, merampas dadah bernilai RM 7,624,751.34, dan menyita harta hasil pendapatan pengedaran dadah bernilai RM 557,294.95.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *