PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan mengadakan lebih banyak sesi libat urus di antara Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) dan kumpulan perkhidmatan kesihatan lain pada masa akan datang.
Menurut jurucakap HDK Dr Muhammad Yassin, jaminan ini telah disuarakan Menteri Kesihatan Malaysia Dr Zaliha Mustafa selepas mengadakan pertemuan dengan HDK di pejabatnya di sini pada Selasa.
Katanya lagi, Dr Zaliha mahu HDK menjadi orang Tengah di antara doktor kontrak, KKM dan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) yang dibentuk Kabinet.
“Menteri berjanji lebih banyak pertemuan antara HDK dan KKM diadakan selepas ini bagi membincangkan isu berkaitan doktor kontrak,” katanya.
Pada perjumpaan itu juga, HDK turut menyerahkan memorandum berkaitan tuntutan gerakan itu kepada Dr Zaliha.
Dalam memorandum itu, HDK memohon kerajaan menyegerakan proses penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan sebagai langkah memperkasa kebajikan dan jaminan untuk staf kesihatan kontrak secara amnya.
Dr Zaliha sebelum ini berkata, Jemaah Menteri pada 31 Mac lalu bersetuju menubuhkan HLC bagi menangani isu doktor kontrak dan jawatankuasa itu menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk pembabitan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi HLC dilaporkan berkata, kerajaan akan memastikan situasi menang-menang dicapai supaya tiada pihak berasa rugi atau tersingkir dalam penyelesaian isu perjawatan doktor kontrak.