Tempatan

Lebuh Raya Pesisir Utara akan mula dibina tahun depan

LIMBANG: Kerajaan Sarawak bercadang untuk melaksanakan projek mega iaitu membina Lebuh Raya Pesisir Utara bermula tahun depan (2025) hingga 2030.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan SRi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, lebuh raya yang akan memiliki empat buah lorong itu menelan kos kira-kira RM6.1 bilion yang ditanggung kerajaan pimpinannya.

“Lebuhraya ini bukan hanya menghubung Limbang tetapi menerusi Brunei dari Miri ke Limbang dan Limbang terus ke Lawas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media setelah selesai lawatan ke tiga tapak projek pembangunan di Bahagian Limbang, semalam.

Abang Johari menjelas lanjut, pembinaan lebuhraya tersebut adalah disebabkan oleh pembangunan yang sedang berlaku di Bahagian Limbang.

“Pertamanya ialah pembangunan lapangan terbang di Limbang yang mana landasannya akan dipanjangkan agar jet dapat mendarat di sini.

“Keduanya, kita sudah mengenalpasti satu kawasan untuk membangunkan tempat peranginan dan kawasan riadah yang berhadapan dengan Teluk Brunei. Ini akan menjadi satu tempat untuk kita mempromosikan sektor pelancongan disini,” katanya lagi.

Selain itu, beliau menambah, Kerajaan Sarawak juga telah mengenal pasti untuk membangunkan satu pelabuhan dan lapangan terbang yang baharu di Lawas yang mana lebuhraya yang dibina itu kelak akan menjurus ke Lawas.

“Pihak swasta juga akan membangunkan kawasan tempat peranginan untuk para pelancong berhadapan dengan Teluk Brunei yang tidak jauh dari pelabuhan yang kita bangunkan.

“Dengan adanya infrastruktur ini, maka Limbang akan menjadi satu Bahagian di negeri ini yang boleh menarik pelancong serantau,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak menekankan mengenai potensi Limbang untuk mengeluarkan gas.

“Kita menerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan mengusahakan industri gas ini.

“Sekarang ini Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sedang berunding dengan pihak Timur Tengah yang mana mereka berkemungkinan akan datang ke sini untuk bekerja dengan PETROS bagi menguruskan dan mengendalikan industri khasnya gas iaitu asas industri petrokimia,” tambah Abang Johari lagi.

Foto: UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *