Tempatan

Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kini 80 peratus siap, dijangka siap sepenuhnya suku pertama tahun 2023

KUCHING: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kini sudah mencatat 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya suku pertama tahun 2023.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, terdapat beberapa kekangan yang perlu diambil kira dalam memastikan lebuh raya tersebut dapat dibuka sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

“Setakat ini sudah lebih 80 peratus secara keseluruhan, kita masih menjangkakan hujung tahun ini dapat disiapkan sepenuhnya.

“Sekiranya terdapat masalah, seksyen tersebut terpaksa disiapkan dalam fasa pertama tahun depan.

“Namun, kita bersama JKR Sarawak dan kontraktor berusaha mencari jalan dan mencapai sasaran untuk menyiapkan keseluruhan penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 2022 di Pusat Khidmat N7 Samariang, Kuching pada Jumaat.

Jelas Dato Sri Fadilah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, antara perkara yang menjejaskan proses kelambatan pembinaan lebuhraya tersebut termasuk kekurangan tenaga pekerja, kenaikan harga bahan binaan dan kekurangan sumber bekalan kuari.

“Walaupun sempadan sudah dibuka kita masih belum dapat kemasukan pekerja-pekerja asing, di mana jumlah diperlukan adalah lebih 2,000.

“Keduanya, bahan-bahan binaan, ada di antaranya naik harga dengan mendadak manakala ketiga disebabkan kuari tidak mencukupi maka tidak cukup bekalan dari segi batu-batuan dan bahan-bahan binaan lain,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *