Sukan Lee Zii Jia tewas seawal pusingan kedua Terbuka Malaysia

Lee Zii Jia tewas seawal pusingan kedua Terbuka Malaysia

5

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia tersingkir seawal pusingan kedua di Terbuka Malaysia 2022, selepas dikejutkan dengan kekalahan kepada pemain bukan pilihan dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung dengan sokongan padu lebih 5,000 penyokong di Axiata Arena, Zii Jia selaku pemain di ranking kelima dunia terdahulu dilaungkan amaran awal apabila tewas 19-21 kepada pemain berusia 28 tahun itu pada set pertama.

Zii Jia, 24, bangkit pada set kedua menerusi kemenangan 21-19, namun kecundang 16-21 pada set penentuan selepas pertarungan melebihi sejam.

Kemenangan itu turut membantu Rhustavito menyamakan rekod pertemuan dengan juara All England 2021 itu kepada 4-4, dengan kemenangan terakhirnya pada Terbuka Taiwan 2019, manakala pertemuan di Kejohanan Asia dan Terbuka Thailand tahun ini berpihak kepada pemain Malaysia.

Kekalahan itu juga menyaksikan penyokong badminton tanah air terlepas peluang menonton pertembungan suku akhir epik di antara Zii Jia dan Kento Momota esok (Jumaat).-BERNAMA

Previous articleKerajaan komited kawal kos sara hidup rakyat, peruntukan subsidi ditambah
Next articleASNB isytihar pengagihan pendapatan ASB 3 Didik berjumlah RM300 juta
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here