KUALA LUMPUR: Inisiatif Payung Rahmah dan beberapa jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan diteruskan.
Timbalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Fuziah Salleh berkata, Allahyarham telah banyak meninggalkan jasa yang tidak ternilai untuk kesejahteraan rakyat dan negara terutamanya menerusi inisiatif Payung Rahmah.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada KPDN, rakyat dan negara kerana kepimpinan Allahyarham banyak memberi impak positif kepada usaha-usaha menangani isu kos sara hidup rakyat.
“KPDN amat yakin semua usaha-usaha serta sumbangan Allahyarham ketika menjadi Menteri KPDN akan terus diperjuangkan sebagai legasi yang hidup sepanjang zaman dan kelestarian inisiatif-inisiatif seperti Payung Rahmah akan terus dilaksanakan dengan terancang dalam tahun-tahun yang mendatang demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara,” ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama berdoa semoga pengorbanan Allahyarham mendapat ganjaran yang setimpal dari Ilahi dan ditempatkan di tempat yang paling mulia bersama para solihin dan syuhada.
Fuziah mengucapkan terima kasih diatas penglibatan semua pihak termasuk para pemimpin, kakitangan kementerian dan hospital sehingga urusan pengebumian jenazah selesai pada Isnin.
Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 9.23 malam Ahad.
Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke hospital setelah dilaporkan mengalami mual dan muntah-muntah dan telah selesai menjalani pembedahan akibat pendarahan dalam otak.