Tempatan

Lelaki tempatan ditahan dengan dadah di Mukah

MUKAH: Seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun ditahan oleh pasukan Polis Daerah Mukah Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Jalan Kubu pada 13 Mac 2024 kira-kira jam 10:50 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut memiliki sekeping keratan tiub straw berwarna hijau yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine, dengan berat kasar 0.28 gram.

Katanya, dadah berkenaan dalam genggaman tangan suspek.

“Hasil ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau denda tidak melebihi RM 100,000, atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, kes juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun atau denda tidak melebihi RM 5000, serta pengawasan polis tidak kurang dari 2 tahun dan tidak melebihi 3 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rizal mememaklumkan, lelaki tersebut, yang tidak bekerja dan masih bujang, kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah untuk menjalani tempoh reman selama 4 hari sehingga 18 Mac 2024 bagi melengkapkan siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan aktiviti penyalahgunaa dadah dipelawa untuk berhubung dengan balai polis berhampiran, terutamanya di kawasan Mukah, bagi membantu membanteras kegiatan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *