KUCHING: Penyokong Sarawak United FC (SUFC) dan Kuching City FC (KCFC) boleh melepaskan kerinduan untuk menonton aksi kedua-dua pasukan itu berentap dalam Liga Malaysia 2022 (Liga M) di Stadium Negeri, Petra Jaya pada tahun ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Semawi Mohamad mendedahkan setakat ini, kehadiran penyokong di Stadium Negeri untuk menyaksikan perlawanan Liga Malaysia adalah dibenarkan.
Bagaimanapun jelasnya, jumlah penyokong yang dibenarkan masuk dalam satu-satu perlawanan hanya 50 peratus dari kapasiti stadium.
Tambahnya, kebenaran untuk memasuki stadium juga tertakluk kepada keadaan semasa wabak pandemik di Sarawak.
Semawi berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Stadium Negeri, Petra Jaya pada Selasa.
Katanya, lawatan bersama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu bertujuan memastikan semua fasiliti di Stadium Negeri dari segi padang, bilik persalinan dan kebersihan dalam keadaan baik dan memuaskan sebelum pihak Malaysia Football League (MFL) membuat pemeriksaan dalam masa terdekat.
“Dari segi persiapan, ia sudah lengkap sepenuhnya. Namun kita mahu menjadikannya lebih baik kerana ia adalah imej Sarawak.
“Padang kita mesti dalam keadaan baik dan kita mahu menunjukkan kepada MFL bahawa kita sudah bersedia,” jelas Semawi.
SUFC akan memulakan kempen Liga Super menentang Kedah FA pada 4 Mac depan di Stadium Negeri, Petra Jaya.
Manakala KCFC akan memulakan kempen Liga Premier 2022 menentang PDRM FC pada 7 Mac di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. – SN