Sukan

Liga Premier: KCFC akan manfaat tempoh rehat tingkat persiapan

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) akan memanfaat sepenuhnya tempoh rehat susulan penundaan perlawanan sulung Liga Premier menentang PDRM FC yang dijadual berlangsung pada 7 Mac ini untuk meningkatkan persiapan pasukan itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KCFC, Iswandi Ali Hassan, penundaan aksi pertama itu seakan memberi hikmah kepada mereka untuk memberi peluang memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang masih ada dalam pasukan.

“Kita bersimpati dengan apa yang menimpa pasukan PDRM FC selepas ramai pemain dan jurulatih mereka dijangkiti wabak COVID-19.

“Bagaimanapun, saya melihat ada hikmah juga di sebalik situasi ini di mana ia memberi kita peluang untuk memperbaiki apa yang masih kurang dalam pasukan sebelum aksi sebenar bermula kelak,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Bagi mengekalkan prestasi pemain, Iswandi memberitahu pihaknya telah mengatur dua perlawanan persahabatan menentang pasukan MAKSAK Sarawak pada Jumaat dan menentang pasukan Piala Presiden KCFC pada minggu hadapan.

Jadual perlawanan KCFC seterusnya untuk bulan Mac adalah menentang UiTM FC dalam kempen Piala FA pada 15 Mac, disusuli aksi Liga Premier menentang Terengganu FC II (19 Mac) dan Selangor FC 2 (27 Mac).

Malaysian Football League (MFL) dalam kenyataannya pada Khamis mengumumkan dua perlawanan pertama Liga Premier 2022 terpaksa ditunda akibat jangkitan wabak COVID-19.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang memberitahu dua perlawanan itu membabitkan pertemuan Selangor FC 2 dan Skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu, 5 Mac 2022 dan PDRM FC bertemu Kuching City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras pada Isnin, 7 Mac 2022.

Jelas Stuart, pihak sekretariat MFL telah menerima permohonan daripada PDRM FC di mana seorang jurulatih dan 14 pemain mereka didapati positif dan kontak rapat bergelaja sementara dua jurulatih serta kesemua pemain Skuad Projek FAM-MSN juga ditimpa nasib yang sama. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *