Tempatan

Lima RUU jadi tumpuan Persidangan DUN Sarawak Ke-19

KUCHING: Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Ke-19 yang bermula hari ini, hingga Rabu memberi tumpuan kepada pembentangan lima Rang Undang-Undang (RUU).

Kesemua RUU tersebut akan dibentangkan pada hari kedua dan ketiga persidangan melibatkan RUU Perbekalan Tambahan (2021), 2022; RUU (Pindaan) Perlembagaan Negeri Sarawak 2022; RUU Tafsiran (Pindaan) 2022; RUU Lembaga Kemajuan Sagu Dan Nipah, 2022 dan RUU Lembaga Perindustrian Getah Sarawak 2022.

Tumpuan sudah tentu terarah kepada RUU (Pindaan) Perlembagaan Negeri Sarawak 2022 yang akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Selasa.

RUU tersebut adalah bagi meminda Perkara 6(3) dengan menggantikan perkataan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Perdana’ dan meminda Perkara 7A bagi menukar nama jawatan ‘Menteri Muda’ kepada ‘Timbalan Menteri’.

Pesidangan kali ini juga diadakan tanpa perasmian seperti kebiasaan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Ia diadakan sebagai mematuhi keperluan seperti yang termaktub dalam Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak yang menetapkan bahawa, setiap kali DUN yang baharu hendaklah dipanggil bermesyuarat pada tarikh tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran.

Persidangan kali ini juga menyaksikan tiada sesi soal jawab di dalam dewan dan tiada sesi penggulungan oleh para menteri.

Persidangan hari ini dimulakan dengan bacaan doa, disusuli dengan bacaan perisytiharan persidangan dan upacara angkat sumpah oleh kesemua 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ia diteruskan dengan pemasyhuran daripada Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengetuai 79 wakil rakyat termasuk 18 muka baharu mengangkat sumpah sebagai ADUN.

Tiga lagi wakil rakyat ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh; ADUN Piasau, Dato Sebastian Ting Chiew Yew dan ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii tidak hadir kerana masih menjalani kuarantin. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *