Rencana

Log sarang kelulut jadi ‘lubuk emas’ baharu komuniti B40 di Sarawak

KUCHING: Perusahaan madu kelulut kini semakin popular kerana ia bukan sahaja menguntungkan malah mudah untuk dijalankan.

Permintaan yang menggalakkan terhadap madu kelulut membuka peluang kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk mula menceburi dan terlibat secara aktif dalam bidang ternakan lebah jenis tidak menyengat sekaligus meraih pendapatan lumayan.

Atas dasar itu, program Innovation for Community (INNO4C) yang diseliakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) memperkasakan penternakan madu kelulut dalam kalangan keluarga B40 di Sarawak.

Ketua program, Syed Yusof Syed Kechik berkata, harga madu kelulut semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga ratusan ringgit sekilogram berikutan permintaan yang melebihi penawaran.

“Amat rugilah sekiranya keluarga B40 di Sarawak tidak melipat gandakan usaha mereka bagi mengerjakan projek ternakan madu kelulut dan memasarkan hasil tuaian pada skala yang lebih besar.

“Menerusi bimbingan kaedah penternakan secara inovatif melalui teknologi ‘Kelulunomic’ yang terdiri daripada penggunaan Mustafa-Hive, MILOS, buku SOP, peralatan menyedut madu, mesin HILDA, refractometer, pembungkusan madu dan ujian makmal; peningkatan kualiti serta harga pasaran madu kelulut berjaya dicapai hingga memenuhi piawaian sebagai ‘premium honey’ dengan kandungan 20 peratus tinggi gula ‘trehalulosa’.

“Dengan ini, permintaan rakan industri seperti Bayu Gagah (M) Sdn Bhd dan Corak Rentak Sdn Bhd untuk memasarkan madu kelulut di bawah program INNO4C ke Arab Saudi, China serta Amerika Syarikat turut dapat dipenuhi,” beritahu Syed Yusof.

Proses pengambilan madu kelulut

Tambahnya, melalui inisiatif ini, peserta dari Kampung Belungei, Lundu; Tanjung Mas, Maludam; Masjid Al-Amin, Beladin; Kampung Dato Godam, Pusa; Kampung Batang Maro, Kabong dan Kampung Alit, Kabong di Sarawak dapat dibantu dalam meningkatkan pendapatan dan mensejahterakan kehidupan mereka.

“Dalam hal ini, INNO4C didapati selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia kerana berupaya mentranformasi keluarga B40 ini ke arah kehidupan yang lebih baik melalui pendekatan Quadruple Helix Model,” katanya.

Sementara itu, anak tempatan dari Kampung Belungei, Matmuda Dillah, 61 tahun, berkata beliau mampu menjana pendapatan sehingga mencecah ribuan ringgit sekali tuaian madu kelulut melalui program INNO4C.

“Memandangkan madu kelulut sekarang boleh dijual dengan harga yang tinggi, ia memberi pulangan keuntungan dalam masa beberapa bulan sahaja jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Pemeriksaan kualiti madu kelulut

“Melalui penternakan lebah madu kelulut di bawah program INNO4C, saya berupaya menjana ekonomi keluarga dengan memperoleh pulangan sekitar RM1400 pada bulan sebelumnya untuk sekali tuaian sahaja,” tambahnya.

Dalam masa sama, Sukma Alek, 32 tahun berkata, harga pasaran madu untuk jenis ini terpaksa dinaikkan kerana kadangkala beliau terpaksa mendapatkan sarang kelulut tambahan bagi memenuhi permintaan yang tinggi daripada pembeli.

“Dengan peningkatan harga pasaran madu kelulut, sekurang-kurangnya kami masih lagi mampu meraih pendapatan dan tidak mengalami kerugian yang besar untuk setiap kali proses tuaian dibuat,” jelasnya. – Sumber Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM)

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *