KUCHING: LONGI Kuching Sdn Bhd bercadang membuat pelaburan baharu berjumlah RM1.789 bilion.
Perkara ini dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif LONGi Kuching Sdn. Bhd Ngieng Sii Jing selepas memberi taklimat kepada Timbalan Ketua Menteri, Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar/Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan secara maya pada Jumaat.
Jelas Ngieng Sii lagi, pelaburan baharu itu adalah untuk pengembangan kemudahan pembuatan jongkong, wafer dan sel di Samajaya.
“Setelah siap pada suku ketiga 2022, LONGi akan memerlukan tambahan sebanyak 1,730 pekerja.
“Pada masa ini, LONGi mempunyai tenaga kerja seramai 2,959 pekerja dengan 99 peratus adalah warga Sarawak,” katanya.
LONGi adalah salah satu pemain solar global terkemuka dari China dan pembesaran itu menjadikan LONGi Kuching sebagai pengeluar jongkong solar, wafer dan sel terbesar di Malaysia.
LONGi Kuching memulakan operasinya pada 2016 dan telah melabur sebanyak RM2.1 billion di Sarawak.
Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah merakamkan penghargaan kepada LONGi kerana memilih Sarawak berbanding Vietnam untuk pelan pembesaran pelaburan yang jelas mencerminkan keyakinan penuh mereka terhadap kepimpinan Sarawak.
“Pelaburan daripada LONGi dan syarikat multinasional lain di Sarawak telah mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta kesan pengganda positif yang memberi manfaat kepada ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan kepada LONGi bahawa Kerajaan Sarawak akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan kejayaan pelaksanaan pelaburan baharu itu.
Hadir sama Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Dzulkornain Masron, Pegawai Fungsi Khas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datu Liaw Soon Eng dan wakil agensi lain Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Jabatan Tanah dan Ukur, Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).