KUCHING: Majikan di negeri ini yang beroperasi dalam sektor 3D iaitu ‘Dangerous, Difficult and Dirty’ adalah dibenarkan untuk mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan mendaftarkan mereka sebagai pekerja dalam tempoh pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, bermula 26 Julai hingga 31 Disember 2023, majikan boleh berurusan terus dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di Sarawak.
Beliau berkata, sektor yang terlibat dalam program berkenaan ialah perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian, perkhidmatan, perlombongan dan kuari serta pembantu rumah asing.
“PATI yang dibenarkan untuk didaftarkan di bawah Program RTK 2.0 adalah warganegara asing yang telah melakukan kesalahan pada atau sebelum 31 Disember 2022 di bawah Seksyen 6(1)(c) Aka Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) Aka Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas dan tempoh sahlaku dokumen perjalanan sekurang-kurangnya enam (6) bulan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Gerawat menjelaskan, PATI dari 16 negara sumber sahaja yang dibenar didaftarkan.
“Hanya PATI dari 16 negara sumber sahaja yang dibenarkan iaitu Indonesia, Bangladesh, Thailand, India, Filipina, Kemboja, Laos, Nepal, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan China,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai tatacara urusan pendaftaran di bawah Program RTK 2.0, majikan perlu memohon secara atas talian melalui portal Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my Klik ke pautan: PORTAL REKALIBRASI.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/