KUCHING: Sebuah makmal pertanian akan dibina di kawasan Gedong bagi memacu sektor pertanian di negeri ini sekaligus menjadikan Sarawak sebagai hub pengeluar produk pertanian.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, makmal pertanian itu akan dikendalikan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Katanya, pemilihan UNIMAS kerana terdapat fakulti baharu yang diwujudkan di IPT tersebut iaitu Fakulti Alam Sekitar dan Pertanian
“Sebuah makmal pertanian akan dibina di kawasan Gedong di bawah UNIMAS kerana terdapat fakulti baharu yang telah ditubuhkan.
“Makmal ini akan mengkaji penggunaan teknologi pertanian sebagai perintis kepada pembangunan pertanian dan juga merupakan satu usaha untuk menaikkan sektor pertanian dan menjadikan Sarawak sebagai hub pengeluar produk pertanian,” katanya semasa Majlis Amanat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.26 Gedong di sini pada Ahad.
Seramai 400 orang Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pergerakan Bapa, Wanita dan Pemuda Cawangan N26 Gedong telah menghadiri Mesyuarat Perwakilan PBB N.26 Gedong bagi penggal 2022 -2025 yang diadakan pada 18 sehingga 20 Mac lepas.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 dari 82 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang lepas membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang dibawanya. – SN