Nasional

Malaysia tuntut Israel henti serangan besar-besaran di Rafah, patuhi peruntukan undang-undang antarabangsa

PUTRAJAYA: Malaysia menuntut Israel menghentikan serangan besar-besaran Israel di bandar selatan Rafah di Gaza di mana orang awam sedang mendapatkan perlindungan

Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin berkata, Malaysia juga menuntut Israel mematuhi segala peruntukan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan besar-besaran Israel di bandar selatan Rafah di Gaza di mana orang awam sedang mendapatkan perlindungan.

“Serangan kejam dan tidak berperikemanusaan ini akan meningkatkan lagi ketegangan dan malapetaka kemanusiaan dan pasti akan merencatkan segala usaha menghentikan peperangan dan gencatan senjata yang berkekalan,” katanya.

Wisma Putra juga menambah, operasi ketenteraan yang berniat jahat itu dengan jelas memperlihatkan matlamat ulung rejim Zionis untuk menghapuskan rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri.

“la dengan sikap angkuh rejim Zionis membelakangkan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan jelas menghina keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 26 Januari 2024 mengenai enam tindakan sementara yang mesti diambil oleh Israel.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh membenarkan tindakan sedemikian berlaku secara terang-terangan tanpa sebarang tindakan.

“Malaysia menyokong seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan berani menghalang malapetaka baru oleh rejim Zionis dan menekan masyarakat antarabangsa melaksana tanggungjawab dan menghentikan sebarang sokongan kepada rejim yang secara terbuka mengabaikan segala usaha untuk meredakan ketegangan,” ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri, penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh PBB.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *