Dunia Rencana

Manfaat susu formula bayi tiada bukti konkrit

PARIS: Sebahagian besar dakwaan manfaat kesihatan dalam iklan susu formula bayi di seluruh dunia tidak disokong oleh bukti saintifik yang kukuh, demikian menurut satu kajian semalam, dengan penyelidik-penyelidik menggesa susu berkenaan dijual dalam bungkusan kosong tanpa menarik perhatian.

Hasil kajian itu diumumkan seminggu selepas sekumpulan doktor dan saintis menggesa pihak berkuasa supaya membanteras kaedah pemasaran ‘pemangsa’ dalam industri susu formula yang didakwa mengeksploitasi kebimbangan ibu bapa baharu dengan menyakinkan mereka agar tidak memberikan susu badan.

Industri susu formula kini bernilai AS$55 bilion (RM242 bilion).

Susu badan diiktiraf secara meluas sebagai mempunyai manfaat besar untuk bayi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyarankan susu badan diberi secara eksklusif semasa enam bulan pertama kehidupan bayi.

Bagaimanapun, saranan itu diikuti untuk kurang separuh daripada bayi di seluruh dunia, demikian menurut WHO.

Penulis kajian itu yang juga pensyarah kanan Kolej Imperial London, Daniel Munblit berkata, penyelidik-penyelidik bukan memerangi susu formula kerana ia wajar menjadi pilihan buat ibu yang tidak boleh atau memilih untuk tidak memberikan susu badan.

“Bagaimanapun, kami menentang pemasaran susu formula tidak wajar yang mengemukakan dakwaan mengelirukan tanpa disokong bukti kukuh,” katanya.

Munblit dan sebuah pasukan penyelidik antarabangsa meneliti dakwaan kesihatan yang dibuat untuk 608 di laman web syarikat-syarikat pengeluar susu formula di 15 negara termasuk Amerika Syarikat, India, Britain dan Nigeria.

Dakwaan paling banyak adalah susu formula menyokong perkembangan otak, menguatkan sistem imunisasi dan membantu tumbesaran.

Separuh daripada kesemua produk itu tidak mengaitkan manfaat kesihatan yang didakwa dengan ramuan tertentu, demikian menurut kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal BMJ.

Tiga perempat pula tidak merujuk kepada bukti saintifik untuk menyokong dakwaan mereka.

Daripada produk yang menyediakan rujukan saintifik pula, lebih separuh merujuk kepada ulasan, pendapat atau kajian ke atas haiwan.

Hanya 14 peratus produk tersebut merujuk kepada ujian klinikal manusia yang berdaftar. Namun, 90 peratus ujian klinikal yang dilakukan pula mengandungi risiko tinggi bias termasuk kehilangan data atau penemuan tidak menyokong dakwaan yang dibuat.

Hampir 90 peratus ujian klinikal mempunyai penulis yang menerima dana atau mempunyai hubungan dengan industri susu formula, demikian menurut kajian tersebut. –AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *