Tempatan

Maritim Malaysia Zon Bintulu Tahan 3 Bot Tunda, 3 Tongkang Lakukan Aktiviti Pemindahan Barangan Bercukai Menggunakan Dokumen Kebenaran Tamat Tempoh

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan tiga bot tunda beserta tiga tongkang pada jarak lebih kurang 3.5 batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, sekitar jam 7.00 malam pada Khamis. 

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tangkapan telah dilakukan Kapal Maritim (KM) Renggis semasa melaksanakan Operasi Permai di sekitar perairan Bintulu.

Dalam operasi itu, Maritim Malaysia Zon Bintulu telah mengesan tiga bot tunda beserta tiga tongkang yang sedang memindahkan muatan barangan bercukai, disyaki kayu balak daripada sebuah kapal yang berpangkalan dari Papua New Guinea di lokasi tersebut sekitar jam 6.30 petang Khamis.

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati kesemua bot tunda serta tongkang tersebut telah melakukan aktiviti pemindahan barangan bercukai di laut menggunakan dokumen kebenaran yang telah tamat tempoh dan turut gagal mengemukakan Domestic Shipping Licence (DSL) semasa pemeriksaan.

“Kesemua 16 kru ditahan termasuk 3 nakhoda yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 55 tahun terdiri dari 11 lelaki warga tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan tiga lelaki warga India, mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap semasa diperiksa.

“Manakala muatan yang disyaki kayu balak dianggarkan lebih kurang 680 batang juga didapati telah dipindahkan ke atas tongkang tersebut,” katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat. 

Kesemua 16 kru, 3 bot tunda beserta tiga tongkang ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut. 

Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah. 

Setakat ini, Maritim Zon Bintulu telah melakukan 11 kes tangkapan yang melibatkan bot tunda dan tongkang di perairan Bintulu.

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Pada masa sama, amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *