KUCHING: Malaysia akan segera menyelaras untuk mempercepatkan akses kepada pengangkutan awam bagi menyokong trafik orang ramai di sempadan Malaysia-Indonesia.
Ia ditegaskan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri susulan timbul rungutan kesukaran mendapatkan pengangkutan awam di sempadan Entikong-Tebedu.
Menurut Nancy, masalah itu timbul disebabkan pengangkutan awam tidak lagi beroperasi seperti sebelum penularan wabak Covid-19.
“Berpuluh-puluh bas yang beroperasi setiap hari, sudah tiada. Penerbangan yang dahulunya menjadi rutin beberapa kali setiap hari, tidak kembali terbang selepas ditutup akibat wabak itu.
“Ini amat menyukarkan pelancong dan pesakit dari Indonesia yang akan mendapatkan rawatan di Kuching,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Pontianak Post di Kuching pada Selasa.
Menurutnya, buat masa ini, pelancong dan pesakit yang hendak mendapatkan rawatan perlu membayar tambahan untuk perjalanan ke Kuching.
Sebagai contoh katanya, sebelum pandemik, tambang bas untuk pergi dan balik kira-kira RM105 hingga RM140 seorang namun jumlah itu meningkat hamir RM300 seorang sekarang selain terpaksa mematuhi beberapa syarat yang menyukarkan.
Sehubungan itu, Nancy berjanji akan segera menyelaraskan isu berkenaan dengan Kerajaan Sarawak.
“Saya akan berbincang dengan Premier Sarawak untuk segera mencari penyelesaian kepada masalah ini. Ini kerana ramai warga dari Indonesia yang memerlukan perkhidmatan perubatan di Sarawak,” kata Nancy.
Tambahnya, penduduk kedua-dua negara yang berkongsi sempadan darat itu juga sudah lama menyimpan hasrat untuk saling mengunjungi satu sama lain.
“Sudah tentu orang Pontianak rindu untuk datang ke Kuching, begitu juga sebaliknya, orang Kuching sudah lama mengidam untuk datang ke Pontianak,” tambahnya.
Sebelum itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, turut menyokong kenyataan Nancy untuk segera berbincang dengan pihak berkaitan bagi menyelesaikan masalah pengangkutan awam di sempadan. – SN